Jom kongsi pendapat anda !
Follow us on Twitter Subscribe to FB Subscribe via Email

24 June 2008

Mohd Shubhi  /  24.6.08  /  No comments
Suasana dingin terasa ketika saya berjalan kaki ke taman depan rumah saya pagi tadi. Saya berjalan perlahan-lahan sambil melihat keadaan sekeliling. Tiupan angin lembut menyegarkan lagi suasana pagi. Kelihatan beberapa ekor anjing bermain berkejar-kejaran di atas jalan raya bersebelahan padang. Mereka tidak menghiraukan kehadiran saya lalu berhampiran mereka mungkin sudah biasa melihat saya berjogging di taman itu setiap hari.
Sampai di satu sudut bersebelahan pokok, saya mulakan dengan memanaskan badan saya seperti biasa. Saya akhiri pemanasan badan saya dengan menarik nafas panjang, menahan nafas sejenak dan melepaskan nafas perlahan-lahan sambil memejamkan mata saya. Ketika itulah saya dapat mendengar bunyi dedaun bergeser ditiup angin seperti ada satu irama yang mengasyikkan. Bunyi kicauan burung murai bersahutan nyaring sekali. Burung gembala kerbau riuh sungguh mencari makan, ada yang memimpin anak belajar terbang. Merbah pula bersiul merdu dari pokok ke pokok tiada kerisauan.
Saya bukakan mata perlahan-lahan, tersenyum, sungguh indah sekali ciptaan tuhan bisik hati saya. Saya melihat rumput kehijauan di sekitar taman, basah disirami embun semalaman. Kelihatan di seberang sana seorang apek tua sedang menggunting pokok bunganya. Begitulah dia setiap hari. Begitu asyik membelai pokok bonzainya. Bertentangan dengan padang pula kelihatan seorang lagi apek bersenam Tai-Chi perlahan-lahan. Tak ada orang lain yang bersenam di padang itu, biasanya hanya saya seorang. Tapi pagi ini saya di izinkan Tuhan memikirkan kebesarannya. Berapa banyak kurniaan Tuhan pada saya, saya mampu bersenam, menikmati keindahan alam, tubuh badan yang lengkap, dikurniakan keluarga, anak-anak yang masih bersekolah, semuanya sihat dan nakal sekali. Saya masih lagi mampu memberi mereka makan, menyara mereka ke sekolah. Terlalu banyak sekali anugerah Allah. Mengapa kita selalu terperangkap dengan hanya memikirkan apa yang kita tiada...?, tidak hairanlah kita jarang bersyukur.
Tamat bersenam saya terus pulang bersiap ke pejabat. Saya rasa segar dan bertenaga untuk meneruskan kehidupan hari ini. Kehidupan sebagai seorang hamba yang bersyukur. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.

0 comments:

Post a Comment

Contact Me

Name

Email *

Message *

Search