Jom kongsi pendapat anda !
Follow us on Twitter Subscribe to FB Subscribe via Email

04 June 2008

Mohd Shubhi  /  4.6.08  /  No comments
Semasa ke masjid untuk solat zohor hari ini saya terlihat seorang pakcik yang nampak lumpuh sebelah badannya. Dia masih mampu berjalan sendiri secara perlahan-lahan dengan menggunakan tongkat. Ketika melihat pakcik tersebut fikiran saya teringatkan seorang kenalan saya yang berbangsa cina 3 tahun lepas. Namanya Mr. Kuek.
Mr. Kuek mengalami masalah yang sama iaitu lumpuh separuh dari anggotanya akibat terkena strok. Melalui latihan di pusat rehabilitasi pesakit strok dan dengan semangat yang tinggi untuk tidak menyerah kalah dia akhirnya dapat juga berdikari dengan bantuan tongkat.
Saya mengenalinya melalui seorang sahabat yang meminta saya berjumpa dengan Mr. Kuek 3 tahun lepas. Mr Kuek mempunyai sebuah kilang membuat tisu yang terletak di kawasan perindustrian puchong. Perniagaannya tidak berapa memberansangkan dan dia mempunyai banyak stok tisu yang tidak terjual. Saya dibawa melihat kilangnya. Cuma tinggal seorang pekerja berbangsa Bangladesh bernama Kabir yang mengendalikan mesin membuat tisu. Di dalam kilang saya melihat bertimbun-timbun kotak tisu yang tidak terjual. Setelah berbincang dengan Mr Kuek, saya bersetuju untuk menolongnya menjual semua stok tisu-tisunya. Jika saya berjaya, dia meminta saya mengambil alih kilang tisunya itu.
Saya mula menghubungi kawan-kawan dan memulakan aktiviti market survey. Dengan kepakaran masing-masing saya berjaya menghabiskan semua stok tisunya dalam masa tak sampai sebulan. Melalui projek jual tisu itu juga lahirlah satu syarikat yang sehingga kini meneruskan aktiviti perniagaan pengedaran barang-barang retoran seperti tisu, pembalut nasi lemak, beg plastik dan lain-lain.
Seminggu sekali saya akan berjumpa dengan Mr Kuek untuk berbincang. Dalam perjumpaan itu saya dapat mencungkil sejarah Mr Kuek sebelum dia terkena strok. Mr Kuek sebenarnya seorang yang kaya-raya. Dia pernah satu ketika mempunyai sehingga 5 buah kapal pengankutan laut. Banyak lagi perniagaan lain yang di ceburinya. Dia pada asalnya merupakan seorang pegawai bank. Demi mengejar impiannya menjadi seorang jutawan dia menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Dia bekerja keras siang dan malam tanpa mengira penat sehinggalah dia akhirnya berjaya.
Perniagaan semakin maju sehinggalah satu hari secara tiba-tiba strok datang meminang. Pada ketika itu dia tidak dapat menolaknya. Habis segala wang ringgitnya digunakan untuk mengobati penyakitnya. Pernah dia hampir putus asa untuk hidup. Wang ringgit yang dikejarnya selama ini menjadi tidak berguna lagi. Dia hilang satu nikmat hidup yang amat berharga iaitu kesihatan. Dia mula menyesali kesilapannya selama ini. Ketika sakit dia teringatkan ibunya yang telah meninggal. Ketika ibunya hidup dia hampir tidak pernah menziarahi ibunya di Johor. Alasannya ialah terlalu sibuk mengejar cita-cita. Kini dia sedar apa erti kebahagiaan namun apakan daya nasi sudah menjadi bubur.
Suatu ketika kami minum di sebuah kedai dalam subang parade, Mr Kuek bertanya pada saya, "Shubhi masih mempunyai emak kah ?", saya menjawab "ada, dia tinggal di Pulau Pinang". Kata Mr Kuek lagi, " seandainya emak saya masih hidup, saya akan pastikan saya memandu setiap hujung minggu pulang ke Johor semata-mata hanya untuk melihat wajahnya". Saya melihat air mata bergenang di mata Mr Kuek. Saya juga hampir menitiskan air mata mendengarkan kata-kata Mr Kuek itu, wajah ibu saya terbayang di mata.
"Shubhi jangan lupa ziarah ibu selalu sementara dia masih ada, nanti menyesal macam saya tak guna" sambung Mr Kuek lagi. Saya menganguk. Memang dalam hati saya berazam untuk selalu menziarahi ibu. Sebelum beredar Mr Kuek berkata pada saya, "remember shubhi, you don't need 1 million to be happy, jaga kesihatan, ziarah ibu".
Saya menerima nasihat itu walaupun dia seorang cina bukan muslim, sebagai seorang islam saya tahu semua itu namun tidak dapat menghayatinya, Mr Kuek membuka penghayatan itu. Segala puji bagi Allah menemukan saya dengan Mr Kuek. Sehingga kini saya akan tersenyum puas setiap kali pulang ke Pulau Pinang semata-mata untuk menatap wajah ibu. Ya Allah rahmatilah kedua ibu bapaku, ampunilah segala dosa mereka, masukkan mereka bersama golongan orang-orang yang engkau redhai. Amin.

02 June 2008

Mohd Shubhi  /  2.6.08  /  2 comments
"Jom pi penang..." saya terima sms dari kawan saya Zul. Ketika itu saya sedang minum dengan Azman dan sepupu saya di sebuah kedai berkembar dengan stesen minyak petronas di Taman Pauh. Saya dan Azman baru balik dari pergi melihat tanah hutan Azman di Ayer Putih. Letih panjat bukit masih terasa. Setelah berbincang sebentar dengan sepupu, saya kemudian meminta diri untuk beredar. Saya masih belum menjawab sms Zul tadi.

Masuk dalam kereta saya telefon Zul, "pi penang nak buat apa" tanya saya. "makan sup" jawab Zul. "ok, sat lagi saya sampai" saya jawab. Saya memandu kereta menuju ke Permatang Pauh untuk mengambil Zul di Hospital Bersalin Muslimah kepunyaannya. Separuh jalah emak saya telefon memberitahu yang ubat nyamuk dah habis. Dia minta saya membelinya bila pulang nanti. Saya terus pusing kereta saya menuju pulang. Permintaan emak elok utamakan. Saya ke pekan Penanti untuk membeli ubat nyamuk Fumakila kemudian terus balik ke rumah.

"Mak dah makan ke belum..?" tanya saya pada emak

"Belum, tunggu nak makan sekali dengan hang la.." jawab emak.

"Jom kita makan", kata saya "dah rasa lapar la" sambung saya lagi.

Saya dapat satu sms lagi, "dah kat mana dah..?", Zul tanya saya melalui sms. Saya sms semula " singgah rumah untuk solat dan makan dengan emak kejap, lepas ni saya ke sana".
Selesai makan saya keluar pergi ambil Zul untuk ke Penang. Mula-mula kami bercadang untuk makan sup, tapi saya syorkan pada Zul untuk makan ikan bakar tepi laut. Dah lama saya tak makan ikan bakar yang sedap. Zul seperti biasa, menjadi penunjuk jalan untuk pergi ke kedai ikan bakar salah seorang kenalannya di Teluk Tempoyak.
Jalan masuk ke kawasan itu sunyi dan amat bening sekali. Kiri kanan jalan yang bersih itu di penuhi banyak pokok-pokok yang rimbun dan lampu jalan menerangi sepanjang jalan. Memang indah sekali suasana tempat itu, tambahan pula di waktu malam. Sampai di restoran itu kami terus pilih ikan yang hendak di bakar. Zul memilih ikan siakap dan ikan pari. Kami meminta kedua-dua ikan itu dibakar, tiada lauk atau nasi diperlukan kerana kami memang hanya hendak ratah ikan saja.
Selesai memilih Zul mencari Tauke Restoran, rupa-rupanya dia sedang membersihkan persekitaran kedainya dengan mengumpul dan membakar sampah. Kami pergi menemuinya dan Zul memperkenalkan saya pada Tauke Restoran tersebut. Kami seterusnya mengajak dia duduk bersama kami.
Kedai ikan bakar itu besar dan amat selesa. Kami memilih tempat duduk betul-betul di tepi laut. Zul memberitahu saya yang dia pernah datang memberi ceramah motivasi kepada semua pekerja Tauke tersebut. Tauke ikan bakar ini memang sangat suka mendedahkan pekerjanya kepada ilmu yang bermanafaat. Dia juga selalu menghantar para pekerja ke kursus untuk mendalami lagi ilmu mereka dalam industri penyediaan makanan.
Semasa berbual dengan kami dia sentiasa meminta pendapat kami bagaimana dia dapat memajukan lagi perniagaannya. Saya bertanya pada nya, pada pandangannya restorannya maju di sebabkan oleh rasa makanan yang sedap atau sistem yang dia laksanakan dalam menguruskan restorannya. Dia menjawab yang dia percaya restorannya maju adalah disebabkan sistemnya, bukan sebab rasa sedap makanan yang dihidang.
Mendengar jawapan dari Tauke itu saya berkata dalam hati, Tauke ikan bakar ini insyaallah akan pergi lebih jauh lagi kerana ia melihat perniagaan ikan bakarnya dalam skop yang luas dan tidak terbatas kepada bakar ikan semata-mata. Insyaallah dia akan berjaya.
Kami meneruskan makan setelah Tauke tersebut pergi meneruskan kerjanya. Rasa ikan yang dihidangkan itu amat enak sekali. Habis licin kami makan. Selesai makan ikan kami berbual-bual sambil menjamah sepinggan buah-buahan yang di berikan oleh Tauke.
Hari dan lewat malam kami ambil keputusan untuk pulang. Saya mahu bayar makanan yang telah kami makan tadi, tiba di kaunter penjaga kaunter itu mengembalikan duit saya. Katanya Tauke tak bagi ambil duit. Baik sungguh Tauke tersebut, moga Allah murahkan lagi rezkinya. Saya pula menyesal kerana tak tambah sotong untuk dibakar, bukan senang untuk makan free begitu. Bil yang saya lihat bernilai RM38.00
Moga perniagaan ikan bakar itu bertambah maju dan Tauke nya dapat menggunakan perniagaannya itu dalam usaha dia mendekatkan dirinya kepada Penciptanya.
Back to Top

Contact Me

Name

Email *

Message *

Search