Jom kongsi pendapat anda !

08 May 2009

Kenangan Zaman Kanak-Kanak : Curi Durian


Mengimbau zaman kanak-kanak sedikit sebanyak dapat mengenal diri sendiri dan memahami cara kita berfikir. Dapat juga menghargai tunjuk ajar orang tua-tua yang cuba menamamkan cara hidup yang betul sebagai bekalan di hari dewasa.

Waktu kecil di kampung dulu saya jenis yang nakal dan tak reti duduk diam. Saya dilatih jinak dengan Masjid sejak kecil. Ayah saya menghantar saya belajar mengaji sejak umur tujuh tahun di masjid. Saya belajar mengaji Quran dengan imam Kampung Masjid Kubang Semang iaitu Pak Ndak Mud atau Haji Mahmud.

Saya belajar sekolah agama yang kami panggil sekolah arab, juga di masjid. Sekolah Arab itu dikendalikan oleh Pak Su Mat Yatim yang juga merupakan Imam Masjid Kubang Semang. Didikan itu membuatkan saya suka pergi solat waktu di masjid. Tak kira siang atau malam saya sering berulang alik dari rumah ke masjid.

Pokok Durian Berhantu
Jarak rumah saya ke masjid mengambil masa lebih kurang 10 ke 15 minit. Dari rumah saya berjalan mengikuti lorong kampung melalui rumah Tok Man dan rumah Pak Mat sebelum tiba ke titi kecil bertentangan dengan laman luas rumah Makcik Ladang yang di penuhi rumput panjang dan berpaya.

Dari situ jalan utama kampung yang muat sebuah kereta itu meyusur ke jalan utama sepanjang pagar sekolah rendah Penanti di sebelah kirinya dan sebelah kanan pula merupakan semak samun yang ditumbuhi dengan pokok pisang. Semak samun sepanjang jalan kampung itu memisahkan jalan tersebut dengan sawah padi memanjang hingga ke sungai yang kami panggil Ban Busuk.

Di hujung jalan itu sebelum ke jalan besar terdapat sebatang pokok durian yang kononnya berhantu. Orang bercerita ramai yang kena usik ketika lalu di waktu malam di situ. Melalui jalan tersebut di waktu malam merupakan satu cabaran yang paling getir bagi saya ketika kecil.

Saya berlatih menyemai perasaan berani setiap kali lalu di jalan itu di waktu malam. Pernah sekali saya pulang dari solat insya dengan menaiki basikal ayah saya. Entah kenapa sebaik saja lalu di sebelah pokok durian itu saya merasa seram dan takut.

Untuk melawan rasa takut itu saya buat keputusan turun dari basikal dan menyorongnya sahaja. Semakin saya berdebar saya semakin memperlahankan langkah saya. Saya bisik dalam hati saya dengan berkata "Padan muka, takut sangat engkau, lagi takut lagi aku perlahan". Namun debaran jantung saya semakin kuat membuatkan saya terus berhenti kerana geram dengan ketakutan itu.

Tiba-tiba terdengar bunyi jeritan kuat yang mengejutkan membuatkan saya mencampakkan basikal lalu lari sekuat hati sampai kerumah Pak Mat. Di situ pulih sikit semangat saya dan saya berhenti berlari sambil tercungap-cungap.

Saya baru perasan rupanya bunyi tadi adalah bunyi dua ekor kucing bertengkar. Saya patah balik dan mengambil basikal saya lalu terus pulang.

Curi Durian
Tak jauh dari pokok durian itu ada sebuah rumah kepunyaan sekolah yang diduduki oleh Abang Din yang merupakan kerani di sekolah itu. Rumahnya terletak sebelah jalan utama.

Biasanya apabila musim durian berbuah saya akan dengar orang-orang tertentu mendakwa yang dia memajak pokok tersebut. Tak pernah pulak saya bertanya siapa tuan punya tanah di situ.

Pada satu musim durian berbuah, saya lalu di situ pada waktu petang. Saya melihat-lihat sekeliling pokok durian itu kalau-kalau ada durian gugur. Di sebalik semak saya ternampak sebiji durian yang agak besar de selaputi daun kering. Mungkin gugur sebelum saya lalu di situ.

Saya lihat sekitar kawasan tak ada orang lalu saya pergi ambil dan membawanya menemui kawan-kawan untuk dibuat kenduri.

Kami kendurikan durian itu dengan seronok sekali beramai-ramai. Selepas itu kami bermain sehingga lewat petang. Kami berhenti bermain dan masing-masing balik ke rumah.

Sesampai di depan tangga rumah saya disambut oleh ayah saya yang siap memegang parang tercacak di atas anak tangga. Saya buat selamba saja mahu naik ke atas. Belum sempat saya mahu pijak anak tangga, ayah saya menengking saya dengan kuat sekali.

"Hang buat benda haram !, curi durian orang !, jangan jejak rumah ini selagi hang tak pi minta halal dari Din Sekolah " saya tergamam, macam mana ayah saya tahu saya curi durian pulak ?.

Rupa-rupanya Abang Din nampak ketika saya pergi mengambil durian tadi dan datang mengadu pada ayah saya. Abang Din kata pokok durian itu dia pajak tahun itu. Ayah saya menyuruh abang saya Manan mengikuti saya ke rumah abang Din untuk menjadi saksi saya meminta halal.

Saya berpatah balik lemah, berjalan perlahan-lahan menuju ke rumah abang Din sambil diekori oleh abang saya dari jauh. Rasa malu teramat sangat untuk menemui abang Din, apalagi nak minta maaf dan mengaku yang saya mencuri buah duriannya tadi. Kalau abang saya tak ikut tentu aya akan melencong ke tempat lain.

Sampai di rumah abang Din saya memberi salam. Abang Din tercegat di depan pintu dan saya terus bersalam dengannya sambil mengaku mencuri buah dan mohon maaf dan mohon halalkan apa yang saya makan tadi. Abang Din tersenyum dan memesan pada saya agar jangan mencuri, kalau terjumpa dan nak makan datanglah minta padanya dulu. Saya angguk dan bergegas patah balik pulang ke rumah.

Peristiwa tersebut saya kenang hingga sekarang. Terima kasih pada arwah ayah saya kerana bertegas dalam hal halal haram.

1 comment:

  1. Bapak-bapak kita zaman dulu memang garang...siap berparang nak mendidik anak. Sekarang tiba giliran kita pula nak mendidik anak. Ternyata mendidik bebudak zaman skrg bukannya mudah.

    ReplyDelete

Contact Form

Name

Email *

Message *

Follow by Email