Jom kongsi pendapat anda !

05 July 2009

Kenangan Pekan Penanti 30 Tahun Dulu


Saya di besarkan di kampung Penanti, Bukit Mertajam di mana terdapat sebuah pekan kecil yang majoriti peniaganya adalah dari kalangan kaum cina.

Boleh dikatakan lebih 90% pembeli adalah dari kalangan kaum melayu di sekeliling pekan tersebut yang terdiri daripada kampung Petani, Kubang Semang, Kampung Pelet, Kubang Ulu, Kampung Penanti, Guar Perahu, dan Bukit Indera Muda. Semua kampung yang saya sebutkan adalah majoriti kampung melayu.

Seingat saya sejak saya sedar begitulah keadaannya, semua perniagaan runcit dikuasai oleh Tauke berbangsa Cina sehinggakan kedai kopi pun sentiasa dibanjiri oleh orang melayu sedangkan taukenya berbangsa Cina.

Ada juga kedai melayu di buka di pekan kecil itu, tapi semuanya tak akan bertahan lama. Tauke sering bertukar-tukar sebelum akhirnya gulung tikar.

Entah apa sebab sebenarnya saya kurang pasti tapi saya sering mendengar berbagai rungutan dari para pelanggan melayu sendiri yang merungut seribu satu macam keburukan tauke kedai runcit melayu.

Antara rungutan biasa yang saya sering dengar termasuklah dari emak saya sendiri adalah seperti sombong, terlalu berkira, barang mahal, layanan tak bagus, lembab dan seumpamanya.

Sehinggalah kedai runcit melayu itu bungkus atau gulung tikar barulah segala rungutan akan hilang bersama dengan hilangnya kedai runcit melayu tersebut. Barulah puas hati mereka agaknya...?

Samada memang tauke melayu itu sebagaimana yang mereka runggutkan atau kebanyakan penduduk melayu disitu tak senang melihat orang melayu berniaga.

Saya masih ingat Kedai Kopi Ah Nyok yang kami sering masuk dari pintu belakangnya sebagai jalan pintas untuk ke pekan yang tersusun di kiri dan kanan jalan raya.

Kedai Kopi Ah Nyok itu sentiasa penuh dengan orang melayu yang minum kopinya yang hitam melekat di dalam cawan antik, di bahagian depan kedai dan di belakangnya pula penuh dengan orang melayu dan cina yang bermain mahjong atau yang kami panggil sebagai "Ba Chok" di sana.

Di situ saya melihat hubungan akrab orang melayu dan orang cina yang mempamerkan semangat satu Malaysia. Namun saya menganggap semangat satu Malaysia berlaku ketika itu hanya dalam perkara-perkara haram atau maksiat sahaja.

Ada juga melayu yang tak bermain Ba Chok tapi hanya duduk di bahagian belakang kedai sampil terkebil-kebil menikmati minuman yang botolnya dibalut oleh surat khabar. Apabila dah besar sikit baru saya dapat tahu yang mereka minum arak rupanya. Nasib baik saya tak minta sikit merasa minuman tersebut dulu.

Selain dari bermain judi daun pakau, belangkas dan ba-chok, mereka juga sering bertaruh laga ayam di belakang kedai Ah Nyok itu.

Saya sering terkejut ketika sedang bermain dengan kawan-kawan di halaman rumah apabila tiba-tiba kelihatan beberapa orang melayu dan juga cina tercungap-cungap melarikan diri bertaburan serata semak kerana dikejar polis yang kadangkala melakukan serbuan di belakang kedai Ah Nyok.

Saya dapat tahu kadangkala polis akan serbu untuk menangkap mereka yang sering berjudi secara haram (dari segi undang-undang)apabila menerima laporan mereka yang meluat melihat aktiviti itu.

Syukur sekarang ini saya tengok ada antara mereka yang bertempiaran lari itu merupakan ahli masjid yang taat, mereka dah bertaubat dan berubah.

Ada satu kepercayaan yang saya sering mendengar diulang-ulangkan oleh orang tua-tua dulu di kampung, memandangkan kebanyakan orang cina di situ merupakan tauke-tauke belaka, mereka kebiasaannya kaya-kaya. Maka dari situ saya selalu mendengar yang memang patutlah mereka itu kaya kerana orang Cina itu mereka tiada pantang dan bagi mereka menipu itu satu kemestian untuk berjaya.

Sehinggakan apabila saya melihat orang cina yang susah, saya akan berkata dalam hati yang orang cina ini tentu tak pandai menipu.

Maka saya membesar dengan ajaran sesat tersebut yang mempercayai hampir semua orang cina suka menipu dalam perniagaan maka kita harus berhati-hati dalam berurusan dengan mereka.

Agak lama juga saya menyimpan kepercayaan songsang tersebut sehingga dewasa dan terbuka pergaulan saya baru saya sedari, samada melayu atau cina yang berjaya menipu adalah perbuatan yang salah yang perlu dielakkan jika kita mahu mengecapi kejayaan secara bermakna.

Bukan orang Cina sahaja yang akan menipu, orang Melayu atau apa bangsapun sama hebatnya menipu apabila mereka pendek akal dan terpengaruh dengan sikap mahu kaya cepat tapi malas berusaha.

Melalui bacaan buku yang ditulis oleh usahawan-usahawan besar berbangsa cina, saya dapati mereka tak pernah lupa untuk menasihati tentang perlunya kejujuran untuk mengecapi kejayaan sebenar. Mereka juga sering mengeluh dengan sikap sebahagian rakan sebangsa mereka yang mengamalkan sikap tidak jujur.

Kesian apabila saya terkenangkan penjual-penjual sayur dan ikan serta tauke-tauke kedai runcit di kampung dulu apabila saya sentiasa mencurigai mereka ketika berurusan berjual beli dengan mereka, sedangkan mereka amat kuat bekerja dan tak pernah sombong.

Begitulah secoret kisah kenangan yang mungkin ada sedikit manafaat untuk kita hayatinya.

2 comments:

  1. Salam Sdr Shubhi.

    Kesenangan yang dikecapi dengan cara menipu hanya utk nikmat di dunia semata-mata.

    Kesenangan yang diperolehi dengan cara jujur dinikmati di dunia dan juga di akhirat.

    ReplyDelete
  2. Zaidi, kebanyakan manusia lebih nampak kepada dunia walaupun mereka percaya adanya akhirat...

    ReplyDelete

Contact Form

Name

Email *

Message *

Follow by Email