Jom kongsi pendapat anda !
Follow us on Twitter Subscribe to FB Subscribe via Email

20 August 2010

Mohd Shubhi  /  20.8.10  /  ,   /  No comments
Hari ini dah masuk hari yang ke 10 kita berpuasa, iaitu hari terakhir fasa pertama dalam 3 fasa bulan ramadan. Begitu cepat masa berlalu. Rupa-rupanya semakin kita tua, masa dirasakan berjalan semakin pantas dan luar biasa sekali.

Kalau kita gunakan pengukur masa pasir yang dimasukkan ke dalam silinder dua bahagian itu, kita akan lihat semakin sedikit baki pasir yang berada di atas, semakin lajulah ia jatuh ke bawah, mungkin itu petanda bahawa masa sudah nak habis.

Biasalah apabila umur kita semakin meningkat berbagai peristiwa lama terimbas kembali ke dalam benak kepala kita. Setiap kali solat tarawikh, saya teringat zaman kecil-kecil dulu ketika berpuasa di kampung saya iaitu Kampung Penanti.

Sebulan sebelum masuknya bulan ramadan, orang tua-tua kampung serta ahli jawatan kuasa surau akan mula bermesyuarat, persediaan menghadapi bulan puasa. Agenda yang paling penting sekali ialah persediaan "more" setiap malam selepas solat sunat tarawikh.


Setiap keluarga daripada penduduk penanti yang bersolat di surau akan di senaraikan. Dari jumlah keluarga yang ada akan dibentuk sebanyak 30 kumpulan. Setiap satu kumpulan yang terdiri daripada 5 atau 6 keluarga akan diberikan tanggungjawab menyediakan makanan more pada salah satu daripada 30 hari puasa itu.

Setelah siap satu jadual akan disediakan tertulis di sebuah papan hitam yang tergantung di sebelah kolam wuduk surau untuk paparan kepada umum. Semua orang akan mengambil tahu bila gilirannya menyediakan makanan untuk more di bulan puasa.

Setiap kumpulan pula akan mengadakan mesyuarat mereka bagi menentukan juadah atau makanan yang hendak disediakan kepada para jemaah surau. Masing-masing akan cuba membuat yang terbaik agar semua orang berpuas hati. Suka atau tak suka, semua orang menerimanya sebagai satu budaya yang baik yang telah lama diamalkan.

Bagi kami kanak-kanak, bulan puasa memang seronok sekali, kami agak bebas pada waktu malamnya untuk ke surau selepas berbuka puasa di rumah. Selesai solat insya, semua orang beramai-ramai solat tarawikh pula, pada waktu itu kanak-kanak kecil akan mula berserakan bermain sekeliling surau dengan aktiviti masing-masing, ada juga yang terlajak sehingga ke pekan Penanti.

Surau Penanti pada waktu itu diimamkan oleh Haji Saad, dan Pak Mat akan mengetuai bacaan selawat setiap selesai 2 rekaat solat tarawikh. Mereka pegang jawatan tersebut sejak saya sedar sehinggalah mereka meninggal dunia.

Saya amat kagum dengan Haji Saad sebagai imam ketika itu kerana kepantasannya membaca Fatihah dan surah-surah lazim pada solat tarawikh. Bacaannya sungguh laju seperti "bullet train", kalau nak relaks dalam solat tarawikh memang tak ada peluang, makmum tercungap-cungap mengejar imam yang beraksi seperti senamrobik. Zaman saya kecil tu belum ada imam tahfiz yang mengimami solat tarawikh dan tak ramaipun orang yang hafiz masa tu.

Tok Siak pula masa itu dijawat oleh Pak Lah Kabat, kemudia apabila dia meninggal di sambung oleh Pak Lah Hitam, mereka memang rajin bertungkus lumus menyediakan segala persediaan untuk para jemaah tanpa ada rasa jemu, saya rasa pahala mereka tentu bertimbun berbanding orang lain.

Kadang-kadang budak-budak nakal buat berbagai honar kepada tok siak, ada sekali mereka memasukkan bubur kacang ke dalam kasut pak lah kabat kerana tak puas hati asyik more bubur kacang sahaja tiap malam, kesian dia yang tak bersalah itu, tok siak terpaksa berhati-hati kalau nak balik.

Apabila masuk saja solat witir kami kanak-kanak akan bergegas masuk menyertai para jemaah kerana masa untuk makan sudah hampir. Selesai witir bacaan tahlil ringkas akan diadakan sebelum masing-masing bergerak ke belakang untuk menjamu selera.

Habis makan para jemaah akan menunggu untuk sama-sama membantu membersihkan segala pinggan mangkuk dan periuk belanga. selesai semuanya dicuci baru semua orang akan pulang. Begitulah suasana bergotong royong masa dulu. Hubungan silaturahim amat baik sekali seisi kampung.

Pada masa dulu tak wujud lagi apa yang kita namakan pasar ramadan seperti sekarang ini, entah siapa punya idea mengadakan jualan ramadan yang mengajar orang ramai malas tu. Walaupun begitu juadah berbuka puasa biasanya ada berbagai jenis kuih hasil dari proses "barter trade" antara rakan-rakan mak. Kuih berbuka akan dibuat lebih sedikit untuk diberikan pada jiran, dan setiap jiran akan membalasnya dengan kuih yang mereka buat.

Sekarang ini serata tempat di seluruh Malaysia terdapat bazar ramadan yang menjual terlalu banyak makanan sehinggakan susah untuk kita memilihnya. Setiap bazar ramadan mendapat sambutan yang amat menggalakkan, berduyun-duyun manusia menyerbu ke sana dan ramai yang tewas melawan nafsu makan yang lapar ketika membeli. Hampir apa sahaja yang dilihat mahu dibeli.

Budaya menukar kuih muih sudah menjadi budaya yang hampir pupus di kampung-kampung, apa lagi di bandar yang kadang kala jiranpun tidak saling tegur menegur. Cuma bezanya sekarang ini, jumlah mereka yang beribadah pada bulan puasa lebih ramai berbanding dahulu dan kenayakan masjid atau surau menyediakan imam tahfiz yang sedap-sedap suaranya, hingga ada juga masjid-masjid kawasan orang kaya yang mengimport imam dari tanah arab.

Pelik juga apabila difikirkan semakin tinggi kesedaran agama orang ramai semakin kurang ukhwah silaturahim dalam masyarakat, adakah kita sedang mengamalkan ajaran yang menyimpang?. Kita lebih banyak meningkatkan hubungan dengan Tuhan dan mengurangkan hubungan sesama insan.

Kalau dilihat dalam perjalanan menggunakan lebuhraya, jika kita singgah di hentian rehat, hampir semua orang akan bersolat sendiri-sendiri. Walaupun jumlah yang bersolat makin ramai sekarang, tapi masing-masing lebih suka beramal sendirian. Ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem masyarakat kita sekarang ini.

Jumlah kuliah atau ceramah kalau nak dibandingkan dengan dahulu dengan sekarang, teramat jauh bezanya. Sekarang hampir semua surau atau masjid akan menganjurkan banyak kuliah dan ceramah, banyak tazkirah ramadan, banyak tazkirah subuh dan ramai yang mengikutinya.

Kalau dulu amat sedikit aktiviti pengajian agama seperti itu, mungkin kerana orang yang alim tak ramai atau ramai yang takut untuk mengaku alim. Tapi sekarang ramai yang mengajar, jumlah ustaz yang berkuliah teramat ramai sekarang ini. Masing-masing ada pengikutnya yang tersendiri, sehinggakan ramai juga para ustaz yang menjadikan kerja berceramah dan memberikan kuliah dari surau ke masjid-masjid sebagai pekerjaan tetapnya. Namun masyarakat kita semakin nafsu nafsi.

Walau apapun semoga ibadah puasa kita pada tahun ini mendapat ganjaran yang baik dan dapat membentuk diri kita menjadi insan yang baru sebaik sahaja masuk bulan syawal ini. Insyallah. Selamat berpuasa

0 comments:

Post a Comment

Back to Top

Contact Me

Name

Email *

Message *

Search