Jom kongsi pendapat anda !

12 August 2010

Perkampungan Atas Laut - Pulau Gaya

Rumah terapung di Pulau Gaya
Pulau Gaya terletak hanya beberapa minit menaiki bot dari Kota Kinabalu. Gaya di ambil dari bahasa bajau "Gayo" yang bermaksud "Besar". Ia merupakan sebahagian daripada "Taman Negara Tunku Abdul Rahman" yang telah diistiharkan sejak 1974 dulu.

Di Pulau Gaya terdapat Gayana Eco Resort iaitu sebuah resort bertaraf 5 bintang yang juga menjadi pusat kepada "Marine Ecology Research Centre". Betul-betul di depan menghadap Bandar Kota Kinabalu, terdapat banyak perkampungan terapung di Pulau Gaya yang didiami oleh kebanyakannya pendatang daripada Filipina.

Penduduk dari Pulau Gaya sampai ke Jeti Kota Kinabalu
Penduduk pendatang dari Filipina itu sebenarnya telah lama turun temurun mendiami perkampungan terapung di situ sejak lebih 50 tahun dahulu lagi dan mereka berada dalam keadaan tidak berwarganegara. Mereka berbahasa melayu dan menjadi sumber tenaga buruh yang amat murah di bandar Kota Kinabalu.

Aktiviti pengangkutan dari pulau gaya dan lain-pain pulau
membuka peluang perniagaan.
Kawasan perkampungan terapung itu merupakan kawasan hitam yang terkenal dengan kes jenayah dan dipenuhi dengan para penjenayah, begitulah nasihat daripada pegawai Polis yang tidak menggalakkan orang ramai mendekati perkampungan tersebut. Tidak hairanlah kawan saya seorang warga Kota Kinabalu terkejut besar apabila saya memberitahu saya bersiar-siar meninjau kawasan penempatan terapung itu.

Naik menumpang bot barang untuk ke Pulau Gaya
Kami menaiki bot kepunyaan seorang warga kampung gaya yang sarat membawa muatan runcit untuk ke kampung terapung. Kami memberitahunya bahawa kami mahu tumpang solat di Masjid Terapung yang terdapat di sana. Dia lalu membawa kami terus berhampiran Masjid di Kampung terapung itu dan meninggalkan nombor telefonnya agar kami dapat memanggilnya semula untuk balik ke Kota Kinabalu.

Kami sampai pelantar perkampungan mereka awal hampir sejam dari masuknya waktu zohor, jadi sementara menantikan waktu, kami bersiar-siar sekeliling kampung terapung dengan meniti pelantar-pelantar kayu yang berlubang dan bertampat-tampal.

Pemuda ini bergegas mengikut kami untuk menjual spek
mata hitam kepada kami, pandai dia melihat peluang.
Kami perlu berjalan dengan berhati-hati sambil melihat ke bawah, kalau leka melihat anak dara sambil berjalan, alamat terbolos jatuh ke dalam laut, mungkin sebab itu penduduk wanita di kawasan tersebut tak kisah berpakaian terbuka kerana tahu orang tak sempat melihat keseksian mereka atau jatuh ke dalam laut.

Menghampiri surau
Terdapat beberapa rumah yang berniaga barangan runcit seperti barangan keperluan harian dan makanan ringan. Mereka menjual minyak masak, kicap, cuka dan lain-lain keperluan dengan membungkus semula barangan tersebut ke dalam bungkusan plastik yang lebih kecil untuk sekali kegunaan sahaja, mungkin sekadar itulah kemampuan mereka.

Pelantar menuju ke surau, mencabar!
Kanak-kanak kelihatan merayau-rayau sambil membawa barang jualan seperti kuih-muih, ada juga yang menjual pakaian. Saya yakin mereka akan menjadi manusia yang kental dan rajin berusaha bila besar nanti.

Kami meniti pelantar kayu sampai ke kawasan darat, di situ kelihatan timbunan sampah sarap yang amat banyak tidak terurus. Memang mereka tidak biasa hidup di atas darat jika melihatkan sikap mereka yang tidak tahu menguruskan kebersihan di kawasan persekitaran itu.

Kecil-kecil lagi dan pandai berjual!
Apabila masuknya waktu zohor kami bergegas meniti pelantar semula menuju ke surau untuk solat berjemaah. Wuduk diambil dengan menggunakan botol air mineral yang banyak terdapat di surau tersebut. Ada satu tong besar berwarna biru yang diletakkan di luar pelantar surau bagi menadah air hujan untuk dijadikan air buat berwuduk. Hari itu saya terkial-kial belajar berjimat menggunakan air yang sedikit dalam berwuduk.

Terdapat lebih dari 10 orang yang datang berjemaah dari kalangan orang kampung. Selesai solat kami duduk berbual dengan beberapa orang para jemaah yang kelihatan mesra melayan kami. Kami tanyakan samada terdapat kuliah atau pengajian agama di surau mereka. Amat malang sekali apabila jawapannya tidak, kali terakhir mereka pernah mengadakan pengajian atau kuliah ialah pada tahun 1984!.




Anak-anak gadis duduk berjual kuih.
Ramai dikalangan anak-anak mereka yang tidak bersekolah, ditambah dengan tiadanya pengajaran agama  apalah yang dapat kita harapkan dari mereka untuk menjadi warga yang bertamadun dan berjasa. Apalagi jika mereka tidak pernah diiktiraf sebagai warga negara dan dibantu baik oleh kerajaan Sabah maupun oleh kerajaan persekutuan.

Saya hairan tidak ada dikalangan penduduk yang bangun membentuk satu jawatankuasa kampung demi menjaga kebajikan masyarakat mereka dan mula mengatur sesuatu demi masa depan anak-anak mereka.

Gadis ini juga menjual kuih, malu apabila saya minta izin
untuk merakankan gambarnya
Di pihak kerajaan pula, adalah lebih baik dan afdal membantu masyarakat ini yang telah lama menetap di sana  selain dari membantu rakyat dari negara lain, jangan anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Sebagai manusia mereka berhak dibantu, apalagi mereka merupakan warga muslim yang berpotensi dibentuk dan dididik menjadi warganegara yang baik. Proses pemutihan dengan menemuduga serta memberikan taraf kewarganegaraan kepada mereka yang layak perlu dilakukan dengan segera.

Jika itu semua dapat dilakukan saya yakin kes jenayah serta jumlah penjenayah yang datang dari kampung terapung akan berkurang pada masa depan.

Hanya Asrul, anak kecil berbaju merah itu yang bersekolah, yang lain
tidak pernah bersekolah.










Pemandangan jalan pelantar serta rumah.

Kanak-kanak mengendap kehadiran kami dari tingkap

Gadis kecil mengintai orang datang.

Kawasan berhampiran darat di Pulau Gaya


Sampah sarap bertimbun di tepian pantai kawasan penginapan.

Pemandangan surau dari bot.

Bandar KK kelihatan dari Pulau Gaya

Pemandu bot (berbaju hitam) membawa kami bersiar dengan bot sekeliling
perkampung. Dia amat cekap sekali menyelitkan botnya dengan laju
di celah tiang-tiang rumah.

Kembali ke jeti KK, kami membayar RM30 kepada pemandu bot untuk
semua kos perkhidmatannya membawa kami ke Pulau Gaya, bersiar-siar
dan membawa kami pulang dengan selamat kembali ke KK


0 comments:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Follow by Email