Jom kongsi pendapat anda !
Follow us on Twitter Subscribe to FB Subscribe via Email

15 September 2010

Mohd Shubhi  /  15.9.10  /    /  No comments
Bumbung zink memburukkan rupa masjid asal yang masih kukuh
Saya dibesarkan di qariah masjid Kubang Semang di mana pendedahan kepada ilmu agama bermula di Masjid Lama kamoung itu.

Banyak kenangan sewaktu kecil yang terpahat dalam ingatan muncul kembali apabila terlihat bangunan lama masjid Kubang Semang.

Masuk umur saya tujuh tahun saya dihantar oleh ayah belajar mengaji quran dengan imam masjid Kubang Semang, Tuan Haji Mahmud atau yang biasa kami panggil Pak Ndak Mud.

Pintu masuk ke ruang solat yang masih kekal  cantik

Pengajian dijalankan di dalam masjid lama Kubang Semang setiap hari pada waktu pagi seawal pukul 7 dan pada waktu petang dalam pukul 2 selepas zohor.

Kelebihan Pak Ndak Mud ini ialah dia mengajar kanak-kanak mengaji tanpa mengenakan apa-apa bayaran pun, segalanya percuma.

Cuma kadang kala para ibu bapa atau penjaga kanak-kanak akan bersedekah sedikit  kepada Pak Ndak Mud jika ada wang lebih.

Kalau tak bagipun dia tak akan minta, namun tetap mengajar semua anak muridnya dengan bersungguh-sungguh.

Selepas itu Tuan Haji Mohamad Yatim atau yang kita biasa panggil Pak Su Mat Yatim (sudah meninggal, moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya), mengasaskan sekolah agama atau kita panggil Sekolah Arab yang juga di adakan di sebelah Masjid Lama dalam satu bangunan kayu.

Pintu masuk ke ruang solat bahagian depan.
Kami yang mengaji al-quran di masjid tersebut turut sama belajar asas-asas agama di sekolah arab yang baru dibina. Banyak pendedahan ilmu agama asas dapat ditimba dari sana.

Ketika itu seingat saya masjid baru Kubang Semang yang ada sekarang sedang dalam pembinaan bagi menggantikan Masjid Lama yang sudah tidak muat dengan pertambahan jumlah penduduk di Kubang Semang. Masjid Baru yang dibina berasaskan batu bagi menggantikan masjid lama yang berasaskan kayu.

Pemandangan ruang solat dari belakang terus ke mihrab masjid. Dulu
terdapat mimbar dari kayu di sebelah kanan mihrab.
Pulang beraya baru-baru ini, saya terdetik untuk menjenguk keadaan Masjid Lama Kubang Semang bagi mengimbau kembali nostalgia lama ketika waktu kecil dulu.

Keadaan dalam masjid masih bersih walupun dipenuhi oleh perabut sekolah agama yang sedang dalam proses pembesaran.

Cuma banyak perubahan yang telah berlaku terhadap struktur luar binaan Masjid lama itu.

Dinding mihrab masjid dihiasi cermin kaca lama.
Di pintu masuk dari depan Masjid Lama sebelum ini ada Balai Lintang di sebelah kiri dan terdapat sebuah kolah mengambil wuduk di sebelah kanan manakala pada atas pintu masuk masjid ada sekeping papan terpahat tarikh masjid di bina pada tahun 1873.

Kini semua yang tersebut di atas sudah tiada lagi dan saya tak tahu siapa yang memusnahkannya tanpa memikirkan nilai sejarah yang terdapat pada binaan Masjid ini.

Lantai simen yang ada kini juga merupakan tambahan atau gantian dari lantai lama. Lantai baru ini menutup kaki tiang-tiang masjid yang mempunyai ukiran pada bahagian bawahnya.

Bahagian depan ruang solat dari pandangan sisi
Ketika ini sebuah bangunan batu sedang dalam binaan untuk memajukan sekolah agama yang sedia ada di situ.

Sengaja saya tak ambil rupa masjid dari pandangan luar di sebelah tapak binaan sedang dijalankan agar tidak mencacatkan pemandangan masjid ini.

Kalau saya ambil dari tapak binaan mungkin ada para pencinta sejarah yang akan marah (Itupun jika ada pencinta sejarah di Kubang Semang)

Di sini terletaknya mimbar kayu satu ketika dulu
Memang kemajuan tidak patut di sekat, tetapi pembangunan yang tidak memberikan perhatian kepada unsur-unsur sejarah terutamanya dari segi binaan adalah sesuatu yang amat dikesali. Sudah tentu Masjid Lama Kubang Semang menyimpan satu kazanah sejarah yang amat bernilai kepada jenarasi yang akan datang.

Kita sepatutnya menukarkannya menjadi pusat aktiviti serta galeri bagi menyimpan catatan serta bahan-bahan lama yang menceritakan sejarah terbinanya Masjid dan juga Kampung Kubang Semang tersebut.

Bagaimana negeri Melaka menguruskan segala usaha mengekalkan semua Masjidnya yang bersejarah perlu dipelajari agar dapat dituruti di Pulau Pinang ini.

Mungkin satu dana boleh dimohon kepada kerajaan negeri Pulau Pinang bagi usaha membaik pulih Masjid Lama Kubang Semang kepada bentuk asalnya sementara masih terdapat orang-orang tua yang masih hidup yang boleh menceritakan sejarah lama Masjid itu.

Tiang utama yang amat kukuh serta alang masjid yang berukir.
Secara keseluruhannya Masjid Lama Kubang Semang perlukan perhatian semua pihak bagi membaiki dan mengekalkannya kepada bentuk asal walaupun semua kayu asas binaan Masjid masih kukuh dan tegak berdiri, tetapi struktur lain seperti bumbung, tingkap serta dinding memerlukan pembaikian semula.

Selain dari bumbung zink, semua struktur kayu masih kekal indah
dan kukuh

Jika tiada satu usaha bagi memelihara Masjid Lama Kubang Semang, nescaya ia akan lenyap satu hari nanti dan berkuburlah segala sejarah dan kenangannya bersama dengan para jenazah yang saban hari memenuhi ruang kubur di sebelah masjid tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Back to Top

Contact Me

Name

Email *

Message *

Search