Jom kongsi pendapat anda !

07 June 2010

Dua Sahabat Dihukum Mati Salah Edar Ganja

Sedih jugak membaca berita 2 sahabat didapati bersalah mengedar ganja sebanyak 11.135 kg. Mereka bakal dikenakan hukuman gantung sampai mati. Baca berita lanjut dengan klik di sini.

Kadang-kadang rasa macam tak berbaloi menghukum mati penjual ganja ini, sedangkan ganja diakui di Amerika boleh diberikan sebagai ubat penahan sakit semula jadi atau menahan mabuk atau loya, dan hukuman kesalah memiliki ganja telah di semak semula di sana.

Mungkin kita perlu menukarkan hukuman kepada pesalah edar ganja dari hukum gantung kepada hukuman masuk ke dalam Gaza menyeludup bekalan ubat-ubatan kepada penduduk di sana. Mereka boleh tinggal terus di sana atau keluar semula untuk diarahkan menyeludup sekali lagi ke dalam Gaza.

Kalu macam tu mati taklah sia-sia.

Gerak Usahawan Muslim - Pertemuan Bersama YB Dato Haji Husam Musa

Gerak Usahawan Muslim merupakan satu perkumpulan yang ditubuhkan bermatlamatkan untuk membantu usawan sesama sendiri agar setiap usahawan dapat meningkat lebih maju dan berjaya.

Perkumpulan usahawan yang menyertai Gerak Usahawan Muslim mengadakan pertemuan setiap bulan bagi berbincang serta berkongsi matlamat atau pengalaman agar dapat di manafaatkan oleh usahawan lain. Selain dari itu, dalam setiap perbincangan akan ada satu sesi kerja kumpulan yang sama-sama dijalankan oleh semua usahawan.

Kerja kumpulan kebiasaannya tertumpu dalam kerja-kerja megumpul dana, kerja kebajikan atau kerja dakwah. Untuk sementara waktu ini, kerja pengumpulan dana merupakan satu agenda utama di mana Gerak Usahawan Muslim sedang berusaha menediakan dana bagi membantu para usahawan yang memerlukan sumber kewangan tanpa melibatkan diri dengan riba.


Baru-baru ini, Gerak Usahawan Muslim berjaya mengadakan satu sesi perbincangan bersama Exco Kanan negeri Kelantan iaitu YB Dato Husam.

Berdasarkan pengamatan kumpulan, Dato Husam merupakan seorang ahli ekonomi yang hebat dan beliau juga banyak merubah landskap ekonomi negeri kelantan dengan berbagai aktiviti ekonominya yang berjaya.

Dato Husam juga mempunyai pengetahuan yang luas dalam percaturan politik dalam negara begitu juga di luar negara dan beliau sentiasa berpandangan jauh ke depan.

Atas dasar itu, Gerak Usahawan Muslim berusaha mendapatkan satu ruang waktu agar dapat bersama dengan beliau bagi mengambil sedikit sebanyak ilmu dari perbincangan yang diadakan. Alhamdulillah sesi perbincangan yang diadakan amat positif sekali.

Mungkin pada masa depan Gerak Usahawan Muslim akan cuba mengatur pertemuan bersama dengan pemimpin hebat yang lain pula. Insyallah.

Menyakitkan Tinggal Setaman Dengan Manusia Gelap Hati


Sebagai manusia yang normal kita perlu ada perasaan bersalah apabila mengambil atau melanggar hak orang lain. Ini merupakan satu perasaan fitrah kepada semua manusia yang normal.


Sebagai contoh apabila kita mengetuk kepala seorang insan yang sedang duduk berehat tanpa sebab yang munasabah, sudah tentu perasaan bersalah akan menyelinap ke dalam hati. Kebiasaannya kita tidak akan melakukan perkara seperti itu selagi kita masih waras.

Namun apabila seseorang itu gelap hatinya, maka dia akan sanggup melakukan berbagai perkara yang tak sanggup dilakukan oleh manusia normal yang biasa. Sebagai contoh mereka yang gelap hatinya akan sanggup mengeluarkan kata-kata kesat pasa insan berumur yang memerlukan pertolongan.


Manusia yang gelap hati juga sanggup mengambil barang orang lain tanpa ada apa-apa rasa bersalah dalam hatinya.

Di taman yang saya tinggal iaitu Taman Puchong Intan ada agak ramai manusia yang sejenis ini, mempunyai hati hitam yang gelap yang tidak ada rasa bersalah apanbila mereka menyusahkan orang lain.

Saya paparkan gambar yang saya ambil menunjukkan seorang makhluk keras hati ini meletakkan keretanya dengan selamba menghalang separuh dari jalan raya. Untuk melaui kawasan itu terpaksa mengelak dengan berhati-hati agar tidak terlanggar dengan keretanya.

Ini merupakan cara biasa yang selalu diamalkannya ketika dia memparkirkan keretanya di depan rumahnya. Ditambah dengan ramai peniaga atau pemandu lori yang meletakkan atau menyimpan lori mereka di sepanjang jalan di dalam taman tersebut, keadaan menjadi amat menyakitkan mata yang memandang.

Ada seorang jiran itu yang mempunyai 5 buah lori yang besar dan dia menyimpannya di sepanjan jalan bersebelahan rumahnya dan sentiasa menyempitkan jalan dan menyusahkan orang lain, mungkin penduduk taman perlu meminta bayaran parkir untuk sumbangan dana taman.

Di taman itu ada lebih dari 3 usahawan lori dalam kawasan yang sama dan masing-masing mempunyai lebih dari 3 buah lori!.

Jadilah manusia yang perihatin dan memahami perasaan orang lain. Jika semakin ramai yang menjauhi anda, mungkin itu petanda bahawa hati anda semakingelap dan semakin hitam.

Bagaimana memutihkan hati kita semula?, dengan sering mendengar nasihat agama. Jangan lupakan mendengar nasihat atau kuliah agama sekurang-kurangnya sebulan sekali.

05 June 2010

Pergi Menunaikan Umrah

Hari  ini saya ke KLIA menghantar bapa mertua menunaikan umrah. Itu kali pertama bapa mertua pergi ke Mekah hasil dari sponsor anaknya yang sulong yang pergi bersama dengannya.

Saya sampai ke KLIA dalam pukul 12 tengahari setelah bertolak dari rumah pukul 11 lebih. Sampai di KLIA ada ramai orang sedang berkumpul, ramai yang akan ke Mekah hari ini, dan lebih ramai lagi yang menghantarnya. Saya mencari bapa mertua dan lain-lain sekitar pintu masuk no 6 sebagaimana yang diberitahu oleh abang ipar saya ketika saya menelefonnya.

Sampai di situ ada ramai orang sedang berkumpul, abang, kakak, dan adik-adik ipar serta sanak saudara sedang duduk menunggu. Isteri saya juga telah ada di situ, dia buat tak tahu saja dengan kehadiran saya walaupun yang lain-lain terkejut melihat saya datang. Nampaknya dia masih merajuk.

Dia meninggalkan saya mengikuti adik serta ayahnya ke PD sejak hari jumaat lalu tanpa meminta izin atau memberitahu saya. Saya dapat tahu dia ke PD hanya apabila saya pulang ke rumah malam itu dan mendapati rumah kosong dan gelap gelita. Punca kemarahannya adalah sebab saya pulang ke rumah sebelum itu dengan muka keletihan dan tidak segar, "masam", katanya.

Kebetulan pula hari itu khamis saya berpuasa dan siang harinya saya banyak kerja, jadi mood tak baiklah.  Saya menambah kemarahannya lagi apabila saya memanggilnya 'puan besar", bertambah marahlah dia sehingga saya terhenti makan nasi untuk berbuka dek leterannya.

Tapi saya tak kisah sangat sebab saya memang dah jangka setiap kali bermula cuti sekolah akan ada-ada saja peristiwa yang boleh dijadikan alasan untuk dia pergi menyertai adik-adik serta kakaknya di kampung membawa bersama semua anak-anak.

Dia bahagia begitu, anak-anak saya juga bahagia bersama dengan sepupu-sepupu mereka. Kalau sebulan cuti, alamat sebulanlah saya duduk, tidur, makan dan minum sorang-sorang. Waktu sebegitu baru saya kenal erti rindu pada anak-anak. Orang tua pesan kat saya hidup berumahtangga perlu 5 kali bersabar.

Saya lihat bapa mertua saya sedang duduk di kerusi panjang yang disediakan di situ. Saya terus pergi menemuinya untuk bersalam, saya pesan padanya agar jangan lupa doakan saya di Mekah nanti. Saya nampak air mukanya seperti gusar dan ada genangan airmata di kelopak matanya, atau mungkin hanya perasaan saya.

Selesai menemuinya saya duduk berbual dengan abang ipar saya serta adik kepada bapa mertua saya. Kata abang ipar saya sekarang ini merupakan trend orang pergi ke Mekah buat umrah. Saya menambah dengan berkata, terutamanya businessman, mereka akan pergi hampir setiap tahun atau lebih kerap dari itu. Kerana setiap kali mereka pulang dari Mekah ada-ada saja rezeki mereka yang bertambah, perniagaan semakin menjadi.

Yang peliknya, ada yang tak pernah menunaikan haji tetapi asyik pergi umrah, entah fatwa mana mereka bawa untuk mengamalkan sebegitu. Teringat saya tulisan Yusoff Qardawi yang mengherdik golongan yang amat kerap pergi umrah, sedangkan lebih banyak urusan lain yang memerlukan dana kewangan untuk kerja-kerja dakwah, alangkan baiknya jika mereka menyalurkan duit tersebut pada kerja-kerja dakwah lain yang lebih mendesak, kerana ia adalah lebih utama.

Saya menunggu bapa mertua sehingga masuk untuk berlepas dan sempat mengambil beberapa keping gambar kenangan sebelum bertolak balik pejabat di Shah Alam. Minggu ini banyak tender yang perlu saya isi, banyak kerja nak kena buat, bagus juga saya ditinggalkan sorang diri, boleh saya tumpukan pada kerja saya, kalau saya berjaya semuanya untuk keluarga saya juga.

02 June 2010

Hidup Tanpa Kereta

Jumaat, 28 Mac, 2010

Atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan saya tidak dapat menggunakan kereta sejak hari jumaat yang lalu. Nasib baik pada hari itu saya ada berjanji dengan seorang kawan untuk menyelesaikan satu kertas kerja di pejabat saya di Shah Alam. Dia datang mengambil saya di rumah sebelum solat jumaat. Kami solat jumaat di Masjid Al-Falah USJ dan terus ke pejabat kemudiannya. Bersama dengannya juga saya menyelesaikan kerja-kerja yang lain di KL. Selesai satu hari hingga ke malam tanpa ada kereta.

Sabtu, 29 Mac, 2010

Hari sabtu saya masih tak ada kereta, sejak dari pagi saya mula gelisah memikirkan bagaimana nak buat kerja hari itu dengan ketiadaan kereta. Pagi-pagi saya keluar berjalan kaki mencari sarapan, untung di hujung taman sebelah jalan utama tempat saya tinggal ada makcik menjual nasi lemak. Saya ke situ untuk membeli sebungkus nasi lemak bagi menghilangkan rasa lapar.

Saya bersarapan pagi itu di rumah dengan sebungkus nasi lemak dan secawan kopi sambil memikirkan bagaimana nak ke pejabat. Saya tak nampak jalan penyelesaian dan perasaan marah mula menyelinap di hati. Akhirnya saya buat keputusan untuk tidak ke pajabat dan menghabiskan hari tersebut dengan membaca buku biografi Hamka yang masih banyak belum habis dibaca.

Membaca cerita Hamka membuatkan saya asyik dan akhirnya berasa keputusan saya tidak silap untuk tidak ke pejabat hari itu dapat menghabiskan bukunya. Banyak yang saya dapat pelajari terutamanya semangat menjalani kehidupan dari cerita Hamka.

Ia memberikan saya satu semangat baru dalam menghadapi segala keadaan. Semua masalah serta cabaran yang kita lalui adalah merupakan anugerah dari Tuhan dalam menyediakan diri kita menjadi kental dan tabah, begitu lebih kurang kata Hamka.

Selesai solat insya kawan telefon ajak makan, selesai satu lagi masalah untuk makan malam hari itu. Kawan datang ambil di rumah dan kami keluar makan di Alam Megah. Selesai lagi satu hari tanpa ada kereta. 

Ahad, 30 Mac, 2010

Hari ahad saya meneruskan aktiviti membaca saya sedari pagi, dan makan benda yang sama seperti semalamnya, cuma tengahari saya goreng sebutir telur ayam untuk dimakan dengan roti. Selepas solat asar saya memakai pakaian sukan dan turun ke padang taman sebelah untuk berjogging, kebetulan ada sekumpulan pemuda bermain bola sepak. Saya sertai mereka sehinggalah lewat petang dan pulang sebelum  magrib.

Selesai solat insya di surau, saya ajak kawan minum di kedai, dia membawa saya jauh ke dalam Kampung Aman, Puchong dapatlah saya makan malam di satu restoran sebelah sungai. Sungguh damai suasana kampung, penuh dengan bunyian cengkerik yang mengasyikkan.

Kami makan dan berbual panjang sehingga lewat malam. Saya pulang kekenyangan dan berniat untuk puasa keesokkan harinya, puasa sunat isnin.

Isnin, 31 Mac, 2010

Hari Isnin saya masih tiada kereta sedangkan saya perlu pergi kerja, saya perlu sara anak-anak saya yang masih kecil, saya masih punyai banyak komitmen. Apa jadipun saya perlu pergi kerja, saya perlu pastikan perniagaan saya berjalan lancar, saya mesti ke pejabat. Baru saya perasan betapa kereta merupakan satu alat penting bagi saya untuk mencari makan.

Saya tak punyai pilihan lain ke pejabat melainkan dengan menaiki bas atau menyewa teksi. Masalahnya saya tak ada bas yang bergerak dari Puchong ke TTDI Jaya Shah Alam. Kalau naik teksi tentu kosnya tinggi, membazir wang sahaja sedangkan saya tak punyai banyak wang.

Setelah bersiap-siap, saya nekad untuk ke pejabat dengan hanyak berjalan kaki. Jarak dari rumah ke pejabat kira-kira sejauh 20 km, saya tak perduli. Biarlah apa nak jadi pun saya akan berjalan kaki hingga sampai.

Keluar dari rumah saya berjalan sehingga samai ke LDP berhampiran tol, saya mendapat panggilan dari seorang kawan yang kebetulan berada berhampiran kawasan puchong. Dia sedang memerlukan orang yang tahu selok belok jalan di situ.

Rezki Tuhan datang sekali lagi tanpa diduga, dia datang mengambil saya dengan keretanya. Selesai kerjanya dia menghantar saya ke pejabat. Di pejabat datang pula kawan yang lain mengambil saya dengan kereta dan dapatlah saya menguruskan beberapa kerja lain.

Petang itu kawan mengajak saya berbuka puasa sekali, kebetulan kawan-kawan di KL ajak berjumpa malam itu di KL selepas magrib. Kami solat magrib di Kelana Jaya dan berbuka di restoran Kayu Nasi Kandar di SS2 PJ. Selesai makan, kami bertolak ke KL dan menemui rakan-rakan yang lain di sana. Habis perjumpaan saya dihantar pulang ke rumah. Selesai satu lagi hari tanpa ada kereta.

Selasa, 1hb Jun, 2010

Pagi-pagi lagi saya banyak menerima sms mengucapkan selamat hari lahir. Hari ini adalah hali lahir saya yang ke 42, dah tua rupanya saya ni. Agak sedih kerana saya masih tidak ada kereta. Saya bersiap untuk ke pejabat. Keluar rumah beli sarapan untuk keluarga dan saya berangkat ke pejabat berjalan kaki.

Saya berjalan kaki menyelusuri LDP perlahan-lahan sambil melihat sekeliling. Terlihat papan tanda MPSJ dengan perkatan "Zon Bersih" terpacak di satu tempat yang dulunya amat kotor. Sejak papan tanda dipacak, orang ramai berhenti membuang sampah di situ, malu agaknya dengan papan tanda tersebut. Saya mengeluarkan kamera dan mengambil beberapa keping gambar.

Suku perjalanan, keletihan terasa. Tekak rasa amat pedih, saya singgah di satu gerai sebelah LDP untuk minum dan makan roti canai. Datang pula panggilan dari seorang rakan bertanyakan dimana saya, dia mahu mengajak saya bersarapan. Oleh kerana saya tengah makan dia datang menyertai saya untuk bersarapan sekali.

Selesai bersarapan dia perasan kereta saya tak ada, dia bertanya bagaimana saya sampai di situ. Saya memberitahunya saya berjalan kaki. Dia terkejut dan tak percaya yang saya mahu berjalan kaki sehingga ke Shah Alam. Dia menghantar saya ke pejabat. Saya selamat dari berjalan kaki lagi hari ini.

Saya menghabiskan kerja di pejabat, menemui beberapa orang bersama seorang rakan dan pulang semula ke pejabat. Teruskan beberapa perkara di pejabat sehingga isyak. Sebelum itu seorang kawan sms ajak makan lepas insya, saya setuju dan minta dia datang mengambil saya di pejabat.

Selepas insyak saya keluar makan bersama kawan. Malangnya saya tertinggal telefon bimbit dan dek malas untuk berpatah balik saya biarkan saja telefon itu di pejabat. Selepas makan kawan menghantar saya pulang ke rumah. Habis satu hari laghi tanpa kereta.

Rabu, 2hb Jun 2010

Masih tak ada kereta dan saya juga tak ada telefon bimbit hari ini. Sudah tentu saya akan menghadapi kesukaran untuk ke pejabat. Saya bersiap dan keluar rumah berjalan kaki. Hari agak panas, tapi panas pagi tak berapa terasa bahangnya.

Saya berjalan dan berjalan, peluh mengalir laju, baju terasa basah, kaki terasa sedikit sakit saya teruskan berjalan. Tak perduli kereta lalu lalang sepanjang LDP, tak ada sesiapa yang nak perdulikan saya saya teruskan perjalanan.

Nampaknya hari ini saya terpaksa berjalan kaki sehingga ke pejabat, maknanya saya perlu berjalan kaki sejauh 20km. Saya tabahkan hati dan akhirnya berjaya sampai di Taipan USJ. Letih terasa dan saya teringat pejabat kawan di Taipan, saya teruskan perjalanan sehingga sampai di pejabatnya. malangnya pejabatnya tiada orang.

Saya turun ke bawah dan duduk sebentar untuk minum di kedai yang berada di bawah pejabt kawan saya itu. Untung-untung dia akan sampai ketika saya minum. Takdir Tuhan, dia muncul tak berapa lama selepas itu. Dia baru sahaja lepas minum dengan seorang lagi rakan kami. Mereka cuba menghubungi saya untuk mengajak bersarapan sekali, tapi saya tak menjawab panggilan telefon.

Saya sebenarnya berasa amat lega ketika itu. Dah hampir 10 km saya berjalan kaki tadi, saya perlu meneruskan perjalanan 10km lagi untuk ke pejabat, rasa macam tak berupaya lagi. Nasib baik bertemu mereka.

Akhirnya saya sampai juga di pejabat hari ini dengan dihantar oleh kawan-kawan. Saya masih di pejabat sekarang ini. Entah bagaimana saya akan pulang ke rumah pulak selepas ini. Saya tak mahu memikirkannya lagi.


01 June 2010

Selamat Hari Lahir Saya Yang Ke-42 Tahun

Selama ini saya asyik memberi komen terhadap berbagai peristiwa dan manusia, menganalisa, mengutuk, memuji dan bermacam-macam lagi. Semuanya berkisar tentang orang lain kecuali diri saya sendiri, hebat sangatkah saya?, sempurna sangatkah saya?, sehingga boleh melayakkan saya menghamburkan komen samada positif atau negatif pada orang lain.

Hakikatnya kedudukan saya sudah tentu saya sendiri menyedarinya. Jika saya meninggalkan dunia ini, pada waktu ini, dimandikan, dikafankan disembahyangkan seterusnya dikebumikan, apa yang saya bawa bersama ke dalam liang lahad, selain dari sekujur tubuh yang kaku, hanyalah segunung amalan yang buruk berserta seribu satu macam ketidak sempurnaan.

Sudah tentu yang saya bawa bersama, yang paling besar bersarang bersama amalan yang terlalu sedikit adalah gumpalan penyesalan dek leka membuang masa dan lalai di atas muka dunia.

Banyak perkara yang sepatutnya saya boleh buat dengan lebih baik, banyak kebaktian yang sepatutnya saya hulurkan, banyak amalan yang sepatutnya saya boleh kerjakan, semuanya sepatutnya terlaksana dengan lebih baik, lebih sempurna.

Tugas sebagai suami, sepatutnya lebih baik, tugas sebagai ayah sepatutnya lebih baik, tugas sebagai anak sepatutnya lebih baik, tugas sebagai ahli masyarakat sepatutnya lebih baik, tugas sebagai bos sepatutnya lebih baik tugas sebagai saudara sepatutnya lebih baik, tugas sebagai sahabat sepatutnya lebih baik....

Namun berbagai halangan, keegoan demi keegoan, alasan demi alasan yang saya bentangkan untuk menipu diri sendiri untuk mengizinkan ketidak sempurnaan itu. Semuanya berakhir dengan pembaziran masa, pertarungan jiwa antara mundur dengan mara, yang keputusannya lebih memihak kepada mundur, maknanya gagal, tidak sabar, dan masa berlalu pergi.

Buktinya jelas nyata pada hari ini, tanggal 1hb Jun 2010, genap umur saya 42 tahun mengikut kiraan syamsiah, tiada apa yang saya miliki, tiada kebanggan yang boleh disandarkan, tiada sifat mulia yang mendinding diri.

Moga hari mendatang yang akan saya jalani, selama sisa-sisa masa yang masih tinggal yang diizinkan Tuhan untuk saya membaiki diri, akan saya cuba penuhi dengan lebih bermakna.

Ya Allah!, bantulah hambaMu yang lemah ini, yang tidak sempurna ini, yang banyak kecacatan ini. Berikan kekuatan untukku membaiki diri. Ampunkanlah segala kealpaanku, keterlanjuranku selama ini samada sengaja atau tidak sengaja, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Ampun. Amin.

Contact Form

Name

Email *

Message *

Follow by Email