Jom kongsi pendapat anda !
Follow us on Twitter Subscribe to FB Subscribe via Email

19 March 2011

Mohd Shubhi  /  19.3.11  /    /  1 comment
Saya amat jarang baca novel. Akhir sekali saya baca novel seingat saya adalah ketika bersekolah dulu dan selepas itu novel bukanlah salah satu buku pilihan saya. Tapi segala puji bagi Allah, apabila kaum India bangun menentang penggunaan buku Interlok dalam silibus sekolah menengah telah menarik minat saya untuk mengetahui apa yang riuh sangat sampai mereka bangun menentang.

Kebetulan saya ada masuk dalam kedai buku MPH kepunyaan orang Melayu terkaya negara kita Syed Mokhtar Al-Bukhari, ada selonggok besar buku tersebut yang dijual dengan harga RM20. Apalagi saya terus beli dan mula membacanya. Saya habiskan keseluruhan buku tersebut ketika berada di atas kapal minggu lepas.

Interlok adalah istilah yang diambil daripada perkataan bahasa Inggeris 'Interlock". Kalau diterjemahkan secara terus bermakna "berpaut", "pegang-memegang", "Ikat-mengikat" dan juga "mempersambungkan".

Buku tersebut ditulis pada tahun 1967, iaitu selepas 10 tahun merdeka sempena usaha Perdana Menteri kita masa itu iaitu ayah kepada PM kita sekarang yang mahu para sasterawan menulis sebuah buku yang bertemakan kemerdekaan bagi mengingati 10 tahun merdeka. Maka menulislah penulis Abdullah Hussain yang pada ketika itu bekerja di bawah DBP. Buku tulisannya mendapat hadiah saguhati.

Kisahnya berkisar tentang 3 bangsa utama yang berada di Malaysia pada ketika sebelum merdeka, iaitu bangsa Melayu, Cina dan juga India. Ia digarap dengan indah sekali dengan menceritakan kisah ketiga-tiga bangsa tersebut satu persatu. Melayu memang orang asal tanah Melayu, orang cina datang berhijrah dari China dan orang India juga berhijrah dari India. Kedatangan orang Cina dan juga India ke negara kita adalah dengan tujuan untuk mencari kekayaan yang berlimpah ruah di tanah melayu ini.

Akhirnya sedikit demi sedikit memperlihatkan perkaitan antara 3 bangsa utama itu yang mana setiap watak utama ketiga-tiga bangsa saling berkait rapat antara satu sama lain di adun menjadi satu kisah penuh Novel Interlok. Simbolik kepada kisah kehidupan bangsa yang menduduki negara kita Malaysia. Memang tajuk yang diambil benar-benar menggambarkan jalan ceritanya.

Sebagai warga yang lahir selepas merdeka dan sempat bergaul dengan mereka yang lahir sebelum merdeka, sedikit sebanyak saya dapat memahami bagaimana kolotnya pemikiran orang melayu ketika itu. Mungkin mereka yang masih muda remaja, terutamanya yang membesar dibandar-bandar serba mewah dan maju akan sedikit terkejut dan hairan dengan pimikiran masyarakat kita dulu.

Apa yang diceritakan semula oleh penulis terhadap watak utama bangsa melayu iaitu seorang anak muda bernama "Seman" yang membesar sebagai seorang yang buta huruf membuatkan saya terfikir betapa besarnya peranan ibubapa dalam menyediakan anak-anak mereka untuk kehidupan  mereka di masa hadapan.

Pak Musa, iaitu ayah kepada Seman tidak nampak apa faedahnya masuk sekolah untuk belajar membaca. Dia sanggup menyorokkan anaknya itu dalam kelambu dan menipu gurubesar yang melilau keliling kampung bagi mencari anak-anak Melayu untuk disekolahkan.

Pak Musa ketawa besar apabila berjaya menipu gurubesar, baginya ternyata tahu membaca dan menulis tidak dapat menandingi kepandaiannya menyorokkan anaknya dalam kelambu. Ini meyakinkannya lagi tak ada guna lansung hantar anaknya pergi masuk sekolah. Orang Melayu patut marah kalau nak marah kerana penulis menonjolkan betapa bodohnya pemikiran segelintir orang Melayu waktu itu.

Alangkah malangnya Seman apabila besar dia mula mendapati kecacatan dan kekurangan ilmu tersebut membuatkan dia merasa rendah diri dan ketinggalan. Saya terfikir adakah sesuatu yang saya fikirkan sekarang ini baik untuk anak saya, adalah baik untuknya pada zamannya, agak sukar untuk mencongak masa depan. Anak-anak kita pula sewaktu kecilnya hanya mengikut keputusan ibubapanya.

Jika Seman dihantar belajar di sekolah mungkin ayahnya tidak akan diubati oleh bomoh yang menyembur bapanya yang sedang batuk teruk dengan sireh, dan juga dimandikan dengan air sejuk waktu awal pagi sehingga membawa kepada kematian ayahnya keesokan harinya.

Pak Musa yang menyangka dirinya pandai, rupanya telah menjadi balaci seorang Cina yang membeli tanah kepunyaan melayu dengan menggunakan nama Pak Musa. Undang-undang melarang orang Cina atau bangsa lain membeli hartanah diatasi oleh orang Cina dengan mencari orang melayu yang sanggup menjadi pencacai mereka. Dalam bab ini orang melayu juga patut marah kerana ia menggambarkan kebodohan orang melayu ketika itu.

Setelah kematian Pak Musa, Seman tersingkir dari tanah dan rumah yang mereka duduki yang selama ini di halau oleh cina tuan sebenar punya hartanah tersebut. Akibat malu Seman terus menghilangkan dirinya membawa bersam emaknya yang sudah tua ke tempat lain.

Cerita masyarakat Cina yang datang dari tanah besar ke Malaya juga tidak kurang menariknya. Penulis menceritakan bagaimana orang Cina juga punyai sifat perkauman yang kuat sesama suku mereka. Dalam begitupun mereka masih juga menipu sesama suku sendiri akibat dari sifat tamak haloba nak cepat kaya. Dalam bab orang cina ini kalau nak marah boleh juga kerana penulis menggambarkan sikap mereka yang kaki mabuk, kaki betina, dan kaki candu.

Cerita ketiga pula mengenai masyarakat India yang dimulakan melalui watak Maniam yang berketurunan "paria". Maka disinilah bermula isu kemarahan orang India apabila novel tersebut membangkitkan semula memori pahit wujudnya perbezaan kasta di tanah asal mereka.

Saya tak berani dan memang tak layakpun memberikan komen terhadap bangsa India. Cuma persoalannya adakah fakta-fakta yang ditulis dalam buku itu adalah salah. Bagi saya apa yang diceritakan semuanya sama dengan apa yang saya dengar selama ini sejak dari kecil lagi dan itulah yang saya percaya. Melainkan mereka yang membantahnya dapat membuktikan semua itu salah.

Agak mengecewakan apabila kerajaan terpaksa tunduk dengan desakan mereka yang mahu mengubah penulisan buku tersebut. Mungkin kalau Maniam diceritakan sebagai seorang yang berkasta Brahman taka akan timbul isu bantahan dari kaum India.

Kesimpulannya, buku tersebut memang menarik untuk dibaca oleh semua golongan. Ada cadangan yang mengsyorkan agar kerajaan tarik saja buku tersebut dari menjadi buku pelajaran di sekolah, habis cerita dan gantikan dengan buku lain. Lagipun buku itu dah laris dipasaran dan ramai membeli dan membacanya hasil daripada isu yang timbul, dah tercapai matlamat. Jadi tukar saja buku sastera lain yang bersifat mitos dan tak berpijak dibumi nyata, biar pelajar kita pandai berangan-angan.

1 comment:

  1. macam di usa, kalau mat salih buat joke tentang black, dikatakan rasis. tapi jika mereka buat joke tentang mereka sendiri, superb dan raja lawak.

    ReplyDelete

Back to Top

Contact Me

Name

Email *

Message *

Search