Jom kongsi pendapat anda !
Follow us on Twitter Subscribe to FB Subscribe via Email

07 August 2011

Mohd Shubhi  /  7.8.11  /  , ,   /  No comments
Burj Khalifa
Ulama mengeluarkan fatwa terhadap para penghuni di bangunan paling tinggi dunia, Burj Khalifa hari ini untuk menangguhkan waktu berbuka mereka mengikut tingkat ke berapa mereka tinggal.

Bagi yang tinggal di tingkat yang lebih dari ke-150, waktu berbuka mereka adalah lewat sebanyak 3 minit daripada biasa. Bagi yang tinggal antara tingkal 80 ke 150, waktu berbuka mereka adalah lebih lewat sebanyak 2 minit daripada biasa.

Ini berikutan mereka yang tinggal pada tingkat yang lebih tinggi masih dapat melihat matahari terbenam lebih lama berbanding daripada mereka yang berada di bawah.

Begitu jugalah ketika waktu bersahur, mereka yang berada di tingkat yang paling tinggi akan menyaksikan dulu matahari naik berbanding mereka yang berada di bawah. Baca laporan asalnya di bawah:


Tak terfikir pulak selama ini tentang masalah tersebut. Memang betul secara logiknya mereka yang berada di atas sudah tentu bakal menyaksikan matahari terbenam lebih lewat daripada mereka yang berada di bawah. Banyak impliksinya terhadap fatwa terbaru di atas.


Zaman sudah berubah, dulu paling tinggi manusia hanya tinggal atas pokok. Kini manusia berlumba-lumba membina bangunan-bangunan tinggi mencakar langit dan menghebohkannya di seluruh dunia. Negar kita juga tidak ketinggalan mengikut perangai sebegini apabila membina KLCC sebagai menara berkembar paling tinggi suatu ketika dulu. Begitu juga dengan projek bangunan warisan yang mahu dibina PM kita sekarang.

Bagaimana dengan mereka yang berada di tingkat KLCC pada tingkat yang paling atas, adakah ada perbezaan waktu antara waktu berbuka mereka dengan orang yang berada di bawah dan bagaimana menentukannya.

Begitu juga bagi mereka yang sedang berada udara di dalam kapal terbang dalam perjalanan. Sudah tentu mereka berada pada kedudukan paling tinggi jauh melebih Burj Khalifa dan sudah tentu jarak berbuka antara mereka dengan orang di darat jauh lebih lama.

Selaion daripada waktu berbuka atau bersahur, kita juga terpaksa melihat semua waktu bersolat 5 waktu kita yang mana ianya akan berbeza-beza antara yang berada di tempat tinggi dengan mereka yang berada di tempat yang rendah.
Mohd Shubhi  /  7.8.11  /  , ,   /  No comments
Dubai. Ulama mengeluarkan fatwa bahawa walaupun seseorang itu bekerja sebagai buruh kasar dan terpaksa menjalankan puasanya dalam keadaan sukar, ia tidak mengecualikan buruh itu daripada melaksanakan kewajiban berpuasanya.

Walau bagaimanapun jika keadaan memaksa dia dibolehkan berbuka dengan syarat wajib menggantikannya setelah itu. Itupun dia hendaklah makan ala kadar setakat perlu untuk mengembalikan tenaganya dalam melaksanakan tugasannya tersebut sahaja. Selain itu dia hendaklah menahan daripada makan sepanjang waktu berpuasa itu. Maknanya tak boleh belasah makan sewenang-wenangnya macam orang tak puasa.

Ulama juga menasihati agar majikan atau mereka yang menguruskan kerja-kerja berat tersebut perlu melihat dengan bijak bagaimana mahu menguruskan kerja-kerja berat dalam bulan puasa agar tidak membebankan buruhnya berpuasa.

Mungkin ramai dari kita yang sudah biasa dengan kelonggaran yang diberikan terhadap para buruh kasar yang bekerja berat dalam bulan puasa untuk meninggalkan kewajiban tersebut dan menggantikannya selepas itu. Selama ini fatwa itu lebih longgar dan tidak sekeras fatwa yang telah diberikan oleh ulama Dubai.

Satu lagi kelonggaran untuk meninggalkan puasa dan menggantikannya selepas itu diberikan kepada mereka yang bermusafir. Dalah hal para musafir, hikmah untuk kelonggaran tersebut adalah untuk memudahkan para musafir melaksanakan tugasan mereka dalam perjalanan dan tidak dikekang oleh keletihan berpuasa.

Namun bermusafir sekarang tidaklah membebankan sebagaimana orang dulu-dulu bermusafir dan ia juga tidaklah seberat para buruh yang berkerja kasar dilapangan.

Kita biasa juga mengambil mudah untuk meninggalkan puasa ketika bermusafir dan menggantikannya selepas dari bulan ramadan walaupun tidak berapa terdesak. Alasannya adalah kerana ia merupakan satu kemudahan yang telah diberikan dalam syariat.

Nampaknya kita perlu memikirkan semula semua persepsi kelonggaran tersebut selepas dari fatwa ulama Dubai di atas.

gulfnews : Workers in strenuous jobs not exempt from fast

06 August 2011

Mohd Shubhi  /  6.8.11  /    /  No comments
Terdapat lebih 300,000 anak yatim di negara kita dan sebahagian daripada jumlah tersebut merupakan anak-anak yatim yang ibubapa mereka meninggal dalam kemalangan jalanraya. Demikian ucapan Datin Seri Rosmah Mansor dalam majlis berbuka puasa anjuran Bakti bersama dengan Perkayatim.

Nampaknya masalah kematian disebabkan oleh kemalangan jalanraya di negara kita berada ditahap yang amat kritikal. Jumlah mereka yang mati berlanggar mungkin lebih banyak berbanding dengan jumlah mereka yang mati kerana merokok.

Jika rokok membawa mudharat kepada manusia, maka memandu kenderaan juga nampaknya lebih mencampakkan diri kita ke lembah kebinasaan. Statistik kematian saban hari tahun demi tahun membuktikannya.

Kalau nak kata kemalangan adalah disebabkan cuai atau memandu secara merbahaya, ternyata tidak tepat kerana ada yang memandu secara cukup berhemah tapi datang treller henyak kenderaan yang malang itu dari belakang. Habis meninggal segala penumpang.

Ringkasnya memandu kenderaan di atas jalanraya memang merbahaya. Malang tak berbau! Berhati-hatilah ketika memandu.

05 August 2011

Mohd Shubhi  /  5.8.11  /    /  No comments
Alvi bersaudara.
Orang yang mula-mula cipta virus adalah 2 bersaudara dari Lahore, Pakistan. Mereka adalah Amjad Farook Alvi dan Basit Farook Alvi. Mereka melepaskan virus pertama pada September 1986. Virus pertama tersebut dinamakan Brain.a

Kini setelah 25 tahun evolusi virus menjadikannya senjata yang digunakan oleg kerajaan bagi menyerang sesebuah kerajaan seperti mana Amerika menyerang Iran.

Virus juga menjadi senjata para penjenayah yang membelasah harta benda orang awam di seluruh dunia dan ia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Baca laporannya di sini.

Mohd Shubhi  /  5.8.11  /  ,   /  No comments
Berikut adalah beberapa gejala yang berlaku semasa berpuasa:

Beberapa perkara akan berlaku disebabkan oleh pembuangan toksin dan bahan buangan ketika kita berpuasa seperti nafas berbau, peluh berbau, kulit kering bersisik dan gatal, air kencing pekat dan berbau dan mungkin juga kerap kencing, buang air besar selepas beberapa hari berpuasa, sakit kepala, lenguh badan dan demam (kesan toksin keluar dari lemak ke darah, sebelum keluar dari badan), dan mungkin juga berlaku selsema dan kahak serta lendir dan keputihan.

Pesanan: Jika gejala ini tidak serius, jangan cuba ubatkan kerana ia akan berhenti dengan sendirinya.

Cara berbuka dan bersahur yang berkesan:

(i) Berbuka dengan buah dan air bertapis yang tidak dimasak (guna water-filter).
(ii) Solat Maghrib terlebih dahulu bagi memberi peluang perut mencerna makanan
(iii) Makan makanan yang senang hadam dan kurangkan masakan berminyak, berempah dan pedas. Seelok-eloknya makan sayur, tahu dan kekacang.
(iv) Kurangkan kadar makanan dari biasa
(v) JANGAN minum air sambil makan. Insya-Allah jika makan secara perlahan-lahan, masalah tercekik tidak akan berlaku.
(vi) Minum air putih atau teh herba atau minuman yang mengandungi getah anggur, buah kembang semangkuk dan biji selasih sebanyak yang terminum.


Nota: Waktu sahur elok makan buah dan susu atau sebarang makanan cecair.


Cara berpuasa yang tidak berkesan:


(i) Makan terlalu banyak (waktu sahur dan berbuka)
(ii) Makan makanan yang pedas dan berempah serta payah hadam
(iii) Makan terlalu banyak daging binatang terutama bagi pengidap batu karang, gout dan alahan.
(iv) Mengulangi makan sepanjang malam.
(v) Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan
(vi) Tidur selepas kenyang makan


Makanan yang menjejaskan khasiat puasa kerana mengandungi bahan kimia:


(i) Kopi dan teh.
(ii) Air paip masak yang tidak ditapis.
(iii) Makanan yang ada bahan pengawet, pewarna, perasa tiruan seperti burger, sosej, mee segera, air tin & kotak, air squash, nugget dan seumpamanya.
(iv) Makanan masin perlu dielakkan semasa berpuasa kerana ia menyebabkan air bertakung dalam badan (water retention)
(v) Merokok


Fasa-fasa puasa yang berjaya:

Fasa pertama (2-3 hari):
Perut akan terasa lapar, badan cepat letih, cepat marah kerana kadar glukosa dalam darah rendah

Fasa kedua (3-14 hari):
Kurang selera makan, senang gelap mata, nafas berbau, lidah menjadi putih atau berdaki manakala badan menjadi lesu.

Fasa ketiga (14-akhir puasa):
Lidah menjadi bersih, nafas hilang bau, selera makan baik, tenaga mula pulih dan kadar glukosa menjadi normal kembali. Di fasa ini juga mental, emosi dan badan semakin optimum dan diri menjadi orang baru. Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses asidosis dan ketosis di dalam badan berjalan lancar.

Amalan hari raya yang merosakkan manfaat puasa:


(i) Makan banyak (terutamanya daging, berempah, berlemak dan berminyak)
(ii) Makan kerap
(iii) Kuih-muih yang payah dihadam
(iv) Air yang mengandungi pewarna, perasa tiruan


Manfaat puasa yang berkekalan:
(i) Kurang makan kerana perut dah kecut
(ii) Kesihatan bertambah baik


Sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: “Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasanya itu, selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala)."
Mohd Shubhi  /  5.8.11  /  , ,   /  No comments
Pagi-pagi makan durian di Balik Pulau bersama-sama 2 orang lagi rakan. Selepas makan durian kami bertiga ke pusat bandar. Memang rancangan hari itu adalah untuk makan tengahari di sebuah restoran di pusat bandar yang menyediakan nasi briani paling sedap di Malaysia.

Sepanjang saya mencuba nasi briani di serata tempat di Malaysia ini, tiada lagi yang saya temui yang dapat menandingi kelazatan nasi briani yang di sediakan di sini. Kalau balik ke Penang memang tak sah jika tak makan nasi briani di restoran ini.

Nama restoran tersebut adalah Restoran Hameediyah. Terletak di Campbell Street, tak jauh dari jalan utama Penang Road. Jika terus berjalan kaki melalui campbell street itu, kita akan bertemu dengan masjid Kapitan Kling yang indah.



Restoran Hameediyah ini telah beroperasi selama lebih dari seratus tahun, dan kini ia diuruskan oleh generasi ke tiga. Kedainya masih kekal seperti dahulu, cuma ada sedikit perubahan.

Makanan diangkat dari bawah dengan menggunakan lif kecil yang direka dengan menggunakan rantai basikal. Dulu lif kecil itu dibuat dari papan, kini saya lihat ia telah ditukarkan kepada stainless steel, lebih bersih dan kemas.

Seperti biasa waktu tengahari terutamanya hari bekerja, barisan menunggu untuk makan amat panjang, kerusi serta meja memang tak cukup, kita perlu menunggu sebentar untuk dapat kerusi. Sedap punya pasal tunggu pun tak apa.

Sesiapa yang ke penang saya syorkan untuk mencuba nasi Briani restoran hameediyah ini, anda tentu tak teringin lagi nasi briani lain. Tapi elok pergi awal sikit sebelum pukul 12.30 tengahhari kalau nak elakkan berebut tempat duduk.

Selesai makan kami pergi solat zohor di sebuah masjid unik tak jauh dari situ. ia di bina khas untuk penduduk yang tinggal di flat sebelah, jika turun tangga flat akan terus masuk ke masjid.

Masjid tersebut di hiasi dengan beberapa batang pohon kurma yang subur di depannya. Halaman itu juga menempatkan kubur orang yang mewakafkan tanah tersebut untuk masjid. Jika kita melihat sejarah Pulau Pinang, ia di penuhi oleh ramai mamak-mamak yang kaya raya.

Mereka merupakan para peniaga yang mempunyai banyak harta dan mereka juga amat pemurah untuk kerja dakwah agama Islam. Saya mendengar cerita yang dahulunya, kapitan Kling tu seorang yang amat kaya dan orang inggerispun menjadi kulinya. Wallahu'alam.
Mohd Shubhi  /  5.8.11  /  , ,   /  No comments
Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan visa melebihi jangkaan apabila lebih daripada 4.6 juta visa telah dikeluarkan setakat 16 Julai 2011. Ia jauh lebih tinggi dari sebelum ini sebanyak 1.1 juta orang.

Pendapatan daripada kerja umrah dan haji menjana sebanyak USD9.3 Billion setahun dan ia merupakan hasil kelima terpenting kepada kerajaan Arab Saudi selain daripada minyak.

Elok umat Islam merujuk dan memikirkan fatwa Yusuf Qardawi yang menegaskan wang belanja umrah lebih baik disalurkan untuk pembangunan umat Islam dari segi dakwah pendidikan dan ekonomi umat Islam.

Negara Umat Islam banyak yang membutuhkan wang bagi membangunkan negara mereka. Jumlah rakyat yang buta huruf di seluruh dunia majoritinya adalah umat Islam. Negara miskin masih banyak menimpa umat Islam. Pembangunan teknologi di negara umat Islam masih jauh di belakang.

Tapi memang susah nak menggembeleng seluruh umat Islam agar melihat perkara yang lebih penting daripada yang penting. Kebanyakannya akan berkata "ikut suka akulah nak buat apa dengan duit aku". "Orang yang susah biarlah mereka selesaikan sendiri masalah mereka, siapa suruh mereka lembab!". Mungkin anda yang membaca ini juga berfikiran demikian?

04 August 2011

Mohd Shubhi  /  4.8.11  /  , ,   /  No comments
Kerajaan Negeri Kelantan telah bersetuju untuk membenarkan pihak panel peguam untuk failkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi menghalang perpindahan kes saman Petronas dari bahagian komersial ke bahagian sivil  dan campurtangan Kerajaan Persekutuan.


Berhubungan dengan itu juga, pihak panel peguam telah memaklumkan kepada pejabat ini bahawa pendengaran prosiding tersebut telah ditetapkan oleh pendaftar mahkamah sepertimana berikut:-


Tarikh   ;- 8 Ramadhan 2011 bersamaan 8 Ogos 2011 ( Isnin )

Tempat ;-  Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya
Masa ;- 9 Pagi

Jemput semua untuk sokongan


sumber: www.husammusa.com
Mohd Shubhi  /  4.8.11  /  ,   /  No comments
Ulama Dubai mengeluarkan fatwa mereka yang menghidapi masalah asthma yang teruk dan mengunakan inhaler menyebabkan puasa mereka terbatal. Para pesakit lelah sebegitu dinasihatkan membayar fidyah sebagai ganti puasa mereka. namun mereka disyorkan agar tidak makan dan minum sebagai menghormati ramadan.

Mohd Shubhi  /  4.8.11  /  ,   /  No comments
Kalau anda pergi ke bandar Klang pada waktu pagi dan belum bersarapan anda boleh cuba bersarapan di Chong Kok Kopitiam. Dari namanya sudah tentu kebanyakan orang Melayu tak akan masuk ke dalam kedai tersebut, tapi elok pergi jengok dulu lebih dekat dan masuk ke dalamnya.

Anda akan terkejut kerana dalam kedai kopi itu penuh dengan kerusi meja dari depan sampai ke belakang kedai dan dipenuhi oleh orang ramai dari pelbagai bangsa. Masa saya pergi baru-baru ini, ada Melayu, Cina, India, dan Benggali.

Di depan pintu masuk kedai ada stall nasi lemak kukus dan kuih muih dan semuanya orang Melayu yang jual. Pergi masuk bahagian buat air pula ada tempat menyediakan minuman, tempat menyediakan roti bakar dengan berbagai jenis roti dan juga tempat menyediakan telur separuh masak, telur pula adalah telur ayam kampung dan semua yang menyediakannya orang melayu.



Setelah duduk dan order makan, selesai makan pergi ke kaunter anda boleh bayar dan yang ambil duit adalah nyonya cina.

Walau apapun suasana kat situ sungguh eksotik, malangnya saya tak sempat rakamkan banyak gambar kerana terlalu ramai orang dan sibuk makan dan minum. Saya berazam akan ke sana lagi di suatu pagi yang lain untuk rakam lebih banyak gambar yang menarik, insyallah.

03 August 2011

Mohd Shubhi  /  3.8.11  /  ,   /  No comments
Dia seorang wanita dari Scotland yang membesar di dalam keluarga yang berfahaman Atheist. Mereka dilarang dari menyebut perkataan Tuhan kerana memang mereka tidak mempercayai wujudnya Tuhan dan membenci segala perkara tentang agama atau ketuhanan.

Namun jiwanya tidak dapat menerima semua keadaan tersebut apabila dia sering tertanya untuk apa dia wujud di dunia ini dan siapa yang mewujudkannya. Maka bermulalah pencariannya tentang kebenaran dari gereja ke gereja.

Sehingglah dia bertemu dengan seorang 'alim yang memberikannya kitab terjemahan Al-Quran. Kali pertama dia membaca surah Al-Fatihah membuatkan jantungnya berdegup kuat dan dia ketakutan yang amat sangat. Ikuti ceritanya yang menarik di sini.
Mohd Shubhi  /  3.8.11  /  ,   /  No comments
Ulama Emiriah Arab Bersatu mengeluarkan fatwa tidak apa jika para penagih rokok menggunakan penampal nikotin bagi membendung masalah ketagihan merokok ketika berpuasa di siang hari pada bulan ramadan.

Bulan ramadan merupakan peluang bagi para perokok untuk menghentikan tabiat mereka atau mengurangkan jumlah pengambilan rokok. Namun ramai dari kalangan mereka yang berhenti secara mengejut akan kembali ke tabiat asal dengan lebih teruk lagi. Penampal nikotin boleh menyelesaikan masalah tersebut.

Penampal yang mengandungi nikotin dalam bentuk gel ini ditampal pada kulit dan nikotin akan meresap melalui kulit bagi membekalkan jumlah nikotin yang diperlukan oleh darah para penagih rokok. Ia tidak akan membatalkan puasa kerana bahan ini bukanlah bahan pembekal tenaga yang boleh mengenyangkan penggunanya. Lagipun ia tidak dimasukkan terus ke dalam rongga anggota badan.

Baca kat sini untuk maklumat lanjut.

02 August 2011

Mohd Shubhi  /  2.8.11  /  ,   /  No comments
Surat YB Husam kepada Perdana Menteri yang diutus pada 1 Ramadan:


Pertama, untuk mengucapkan salam Ramadhan kepada YAB Datuk Seri. Di samping itu, saya doakan juga dengan berkat Ramadhan, YAB Datuk Seri segera sembuh.

Kedua, untuk mencadangkan program pengurangan kos hidup yang melambung sekarang bagi membantu meringankan keperitan rakyat jelata. Ramadhan antara lain mendidik keprihatinan jiwa  Mukmin terhadap anggota masyarakat yang lemah, terkesan dengan beban hidup dalam menyara kehidupan diri dan keluarga.

Melalui berlapar, kita merasai kesukaran rakyat yang miskin dan memerlukan. Kita menghayati keperitan mereka  dan mendesak jiwa dan minda  kita memikirkan seribu satu cara untuk berkongsi penderitaan mereka.

Salah satu isu yang menghimpit rakyat sekarang adalah kenaikan kos barang-barang keperluan seharian, seperti YAB Datuk Seri sendiri mengakuinya dengan cadangan langkah memerangi kos kehidupan sebagai satu lagi bidang keberhasilan utama negara seperti yang diumumkan oleh YAB sehari dua yang lalu.

YAB Datuk Seri,

Pada pandangan saya, Kerajaan Pusat mempunyai kuasa dan cara yang boleh menurunkan harga barang keperluan dengan  segera, terutama beras, gula, tepung dan susu.


Salah satu penyumbang bagi tingginya  harga barang-barang ini ialah dasar yang salah yang dilaksanakan oleh Kerajaan YAB Datuk Seri sendiri iaitu menentukan import kepada monopoli agensi atau syarikat tertentu.

Tanpa monopoli ini, harga barang keperluan dapat diturunkan serta merta.

YAB Datuk Seri,

Sebagai membuktikan dakwaan  saya, YAB Datuk Seri boleh menyemak perbandingan harga dunia dan harga yang dikenakan kepada pengguna Malaysia. Sebagai contoh, harga beras gred berkualiti, purata  adalah USD 650 semetrik tan. Bermakna harganya adalah RM 20 setiap sepuluh kilogram. Bandingkan berapa harga yang dikenakan kepada pengguna sekarang?

Bagi mengukuhkan pandangan saya bahawa  harga barangan ini boleh dikurangkan melalui permit import yang tidak ekslusif kepada hanya satu syarikat seperti Bernas, izinkan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri, mengimport 500,000 metrik tan beras berkualiti  premium untuk jualan Negeri Pakatan Rakyat sebagai langkah permulaan.

Seperti dalam makluman YAB Datuk Seri, penggunaan beras Negara adalah berjumlah 2 juta  metrik tan dan apa yang kami pohon tidak menjejaskan  pengguna negeri lain.

Insya’allah ia akan membantu empat perkara;

a.    Harga yang lebih murah
b.    Kualiti premium
c.    Sekuriti bekalan makanan untuk keperluan Negara
d.    Tidak membebankan kewangan kerajaan  kerana ia tidak memerlukan subsidi.

Kami Insya’allah berkeupayaan melakukannya dalam tempoh dua minggu dari tarikh keizinan diberikan dan jika keizinan ini boleh disegerakan oleh YAB Datuk Seri, pengguna boleh menempuh Ramadhan ini dengan  kos hidup yang lebih rendah.

Buat permulaan, Insya’Allah kami boleh mulakan dengan beras, gandum, susu dan gula.

Mengikuti surat ini nanti ialah surat-surat dan tindakan rasmi yang lain, termasuk dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi menjadikan semangat Ramadhan membantu mereka yang berkesempitan suatu realiti.

Sekian, terima kasih.
Dato Hj Husam Musa
-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
-Naib Presiden PAS


Mohd Shubhi  /  2.8.11  /    /  2 comments
Sejak saya bersekolah di Sekolah Rendah Stowell pada tahun 70-an dulu sehingga sekarang rasa 'Cendol Bukit Mertajam' ini tidak pernah berubah. Santan lemak manis berserta dengan kacang merah besarnya yang lazat membuatkan ia menjadi cendol terbaik yang pernah saya rasa.

Dah merata tempat saya rasa cendol, Melaka , KL, Selangor, Kelantan dan lain-lain, ternyata cendol yang ini paling sedap bagi saya setakat ini dan masih tidak ada yang dapat menandinginya lagi.

Lokasinya adalah di kawasan bangunan perniagaan Mara di tengah-tengah pekan Bukit Mertajam. Selain dari cendol ada juga makanan lain dijual di kawasan foodcourt tersebut.
Mohd Shubhi  /  2.8.11  /  , ,   /  No comments
http://i1125.photobucket.com/albums/l588/asrolnetworks/tadarus2011.jpg


Ucapan oleh YAB  Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam majlis perasmian Tadarrus Perdana "Anak Muda Tamu Ramadhan" di Qaryah Ramadhan Stadium Sultan Muhammad IV.Kota Bharu
dato husam musa
Dato' Husam Musa sedang memberi ucapan aluan dalam majlis perasmian Tadarrus Perdana "Anak Muda Tamu Ramadhan" iQaryah Ramadhan Stadium Sultan Muhammad IV.Kota Bharu
anak muda membaca al-quran
Tadarus 10,000 Anak Muda Tamu Ramadhan Kelantan 1432H bermula hari ini di Qaryah Ramadhan, perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. Kota Bharu.

01 August 2011

Mohd Shubhi  /  1.8.11  /  , ,   /  No comments
RAMADAN MENJELANG LAGI
KITA BERPUASA LAGI
PERTINGKATKAN AMALAN KITA
SEPERTI TAHUN-TAHUN YANG SUDAH
SOLAT BERJEMAAH, BACA AL-QURAN, TIDUR SUNAT SELEPAS ZOHOR, BERBUKA DENGAN KURMA, SOLAT TARAWIKH, SOLAT WITIR, BANGUN SAHUR
SOLAT SUBUH, DAN LAIN-LAIN.

SEHINGGA GENAP SEBULAN
KITA AKAN MENYAMBUT SYAWAL
DAN KITA AKAN KEMBALI SEMULA SEPERTI ASAL
SEPERTI SEBELUM BULAN RAMADAN
SEOLAH-OLAH RAMADAN TAK PERNAH KITA LALUI
BEGITULAH BERULANG-ULANG
TAHUN DEMI TAHUN,
KANAK-KANAK HINGGA DEWASA

MOGA TAHUN INI BERBEZA
RAMADAN INI BAKAL MERUBAH KITA
KITA MAHU BERUBAH, KITA BERSEDIA UNTUK BERUBAH...
AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN.....
Back to Top

Contact Me

Name

Email *

Message *

Search